Thursday 14 August 2014

*Chapter* 10 : Nazmi dan Shahrul

*~*~*

Ketika dalam perjalanan, mindaku tidak henti-henti memikirkan tentang perangai Shahrul yang kadangkala amat pelik bagiku. Kata-kata Sunita yang menyatakan bahawa Shahrul cemburu padaku itu masih segar dalam ingatan, namun aku tidak percaya akan semua itu kerana tiada bukti yang kukuh untuk membenarkannya.

Selang beberapa minit, akhirnya kami semua tiba di kawasan yang dimaksudkan. Ladang Strawberi! Tempat ini membuatkan aku bertambah teruja kerana ianya merupakan ladang buah kesukaanku. Walaupun masam, namun aku tetap mengemarinya. Papa hanya tersenyum melihat gelagat kami semua. Aku menuju ke kawasan ladang itu untuk mengasingkan diri dari mereka semua sebentar. Sedang asyik melihat buah strawberi yang merimbun di dalam pasu kecil itu, tiba-tiba kedengaran satu suara di belakang.

"Awak memang suka buah ni sejak kecil?"

tanya Shahrul kepadaku. Aku hanya mengangguk dan tersenyum sedikit. Mujurlah dia tidak marah kepadaku. Mungkin apa yang aku lihat sebentar tadi hanyalah ilusi semata-mata. Sedang asyik berbual, pelbagai soalan diajukan sehingga membuatkan aku menjadi gelabah sebentar. Secara tidak sengaja, kakiku tersadung pada akar pokok dan aku hampir terjatuh. Mujur Shahrul sempat menyambutku sebelum badanku mencecah tanah.

Sedang asyik mengibas-ngibas tanganku yang sedikit kotor, aku terdengar suara orang terbatuk yang dibuat-buat, begitu juga Shahrul. Aku berpaling ke arah suara itu hanya untuk melihat Nazmi berada di situ. Kulihat matanya memandang Shahrul, begitu juga sebaliknya. Aku dapat rasakan satu aura yang negatif, tetapi mungkin juga hanya khayalan aku. Aku yang berada di antara mereka berdua menjadi kaku sebentar sebelum Shahrul beredar ke kawasan lain.

Setelah puas berjalan mengelilingi ladang itu, kami pergi ke beberapa tempat lain yang menarik. Aku hanya mengikut kemana papa tujui. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk makan tengahhari di pekan berdekatan dan seterusnya pulang ke hotel. Wajah kepenatan jelas terpancar pada kami semua. Kami berehat sebentar sebelum keluar semula.


*~*~*

Hari ini merupakan hari yang terakhir untuk kami semua. Barang-barang kepunyaanku telahpun dikemas dan aku sudah bersiap untuk beredar dari hotel tempat kami beristirahat. Setelah semuanya selesai, kami bersarapan sebentar di dewan makan hotel itu sebelum keluar. Percutian ini merupakan percutian yang terindah buatku.

Dalam masa yang sama, aku juga sedar bahawa perperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia hanya tinggal beberapa bulan sahaja tempohnya dari sekarang. Apabila pulang nanti aku harus mula mengulangkaji pelajaran.Sebelum bertolak pulang, aku sempat membeli beberapa buah tangan iaitu keychain untuk Sunita , Mei Ling dan beberapa orang sahabatku yang lain.

Ketika dalam perjalanan pulang, kami semua berniat untuk singgah sebentar di kawasan air terjun Lata Iskandar. Ternyata nyaman sungguh udara di sini. Aku tidak berniat untuk bermandi-manda, cukuplah sekadar merendam kaki. Aku berniat untuk menyendiri untuk seketika. Sudah lama aku tidak merasakan nikmatnya berada di kawasan air terjun.

Sedang asyik mengocak air sungai itu, Nazmi muncul sambil membawa beberapa biji buah strawberi yang dibeli tadi. Aku menyambut lalu meletakkan bungkusan buah itu di antara kami berdua. Sedang asyik megelamun Nazmi bertanya,

" Kau dengan Shahrul ni, ada apa-apa hubungan ke?".

Aku tersentak mendengar soalan yang diajukan itu. Untuk menutup kegelisahan yang menyelubungi segenap ruang hatiku ini, aku menjawab dengan nada yang agak perlahan,

"Tidak ada apa-apa lah, dia cuma anak kepada Puan Julia dan juga sahabat aku."

 Kemudian, Nazmi berkata dengan nada selamba, tetapi lebih kepada ingin mengetahui hal sebenar,

"Oh begitu, aku ingatkan dia teman lelaki kau, nampak mesra semacam."

Aku hanya mendiamkan diri.Setelah siap semuanya, kami bertolak pulang. Aku yang duduk di bahagian belakang kenderaan asyik merenung keluar. Aku tidak perasan bahawa Mak Jah memandang kepadaku. "Lihat apa tu Alia?" tanya Mak Jah kepadaku. Aku sudah lali dengan soalan berbentuk kiasan daripadanya itu. Aku hanya memandang Mak Jah dengan muka yang muram dan Mak Jah pasti mengerti. Dia sudah membelaku sejak kecil jadi tidak hairan untuk dia memahami isi hatiku seperti mama mengetahui diriku.


*~*~*

Setibanya di rumah, aku terus merebahkan diri di atas katil. Aku berniat untuk membuat kerja cuti terancang yang telah diberikan oleh guru sebelum cuti pada keesokan harinya.

Dalam masa yang sama, aku juga memikirkan apakah sebenarnya yang tersirat disebalik sifat Shahrul yang tidak menentu dan kadangkala mengelirukanku itu. Namun aku terlalu penat untuk terus berfikir tentang semua itu lebih lebih lagi ianya hanya membuatkanku hilang tumpuan kepada Perperiksaan Percubaan SPM yang bakal menjelang tak lama lagi.

Apabila bangun dari tidur, aku menunaikan solat Subuh dan terus mengambil beberapa lembaran kertas yang telah dikepilkan bersama-sama. Aku memulakan ulangkaji dengan ungkapan 'Bismillah'. Aku cuba menjawab soalan-soalan yang tertera di atas setiap helaian itu dengan harapan jawapan yang ditanda olehku itu adalah jawapan yang betul.


*~*~*

No comments:

Post a Comment