Thursday 14 August 2014

*Chapter* 17 : Pengakuan

*~*~*

Perperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia hampir tiba. Kesemua murid di tingkatan 5 kini sibuk dengan ulangkaji dan soalan latih tubi bersama guru-guru mereka, begitu juga aku, Sunita dan Mei Ling. Ada yang membuat ulangkaji bersama-sama, ada juga yang melakukannya sendirian. Mungkin pada mereka belajar sendiri itu lebih mudah, seperti aku juga.

Malam itu, sedang asyik aku mentelaah buku nota ringkas Geografi itu, aku menerima satu panggilan daripada seseorang yang tidak asing lagi pada diriku. Pada mulanya aku membiarkan sahaja telefon itu bergetar, namun setelah beberapa kali dia menelefonku, aku beralah.

"Assalamualaikum, tengah buat apa?" kedengaran satu suara dari hujung panggilan.

"Waalaikummussalam, tengah study. Awak?" Tanyaku kepada Shahrul.

"Tidak ada apa, saya cuma bosan sahaja," balasnya ringkas.

"SPM dah dekat, awak dah bersedia? Bila awak boleh hadir ke sekolah semula?" tanyaku lagi.

"Doktor memberitahu, saya hanya boleh keluar dari hospital dalam tempoh 2 bulan dari sekarang. Nampaknya, terpaksalah saya menjawab perperiksaan di hospital." jelasnya.

"Oh begitu," balasku ringkas. Terdapat beberapa perkara yang ingin aku ajukan kepadanya namun biarlah ia terpendam buat masa sekarang.

"Baiklah awak, saya hendak tidur dahulu. Semoga berjaya SPM nanti," ucapnya kepadaku. Kedengaran suaranya ketawa kecil di hujung talian sebelum diputuskan. Perlahan-lahan aku meletakkan telefon bimbitku di atas meja. Tak lama kemudian, aku mendapat satu mesej daripada abang Hafiz bahawa dia dan Nazmi akan berkunjung ke rumah sekali lagi. Aku harap kali ini tiada apa-apa ketegangan yang akan melanda lagi.

*~*~*

"Mama, Hafiz bercadang nak bawa Alia pergi perpustakaan awam di bandar sebab Hafiz nak mencari sesuatu. Lagipun, tahun ini kan dia SPM," jelas abang Hafiz kepada mama. Kami kemudiannya menaiki kereta abang Hafiz menuju ke bandar.

"Bagaimana pelajaran kau sekarang?" tegur Nazmi ketika aku khusyuk membaca buku sambil menunggu mereka.

"Biasa-biasa sahajalah, tiada apa yang luarbiasa pun," balasku sambil mataku tidak lekang dari memandang buku itu.

"Aku dengar budak Shahrul itu kemalangan jalan raya, bagaimana dia sekarang?" tanya dia lagi. Aku yang berasa sedikit terganggu itu berkata,

"Mengapa semua orang sibuk bertanya tentang dia kepada aku? Aku bukan ahli keluarga dia yang tahu segalanya tentang dia," kataku dalam nada yang sedikit marah. Nazmi mendiamkan diri buat seketika, sebelum menyambung,

"Alia, kalau kau nak tahu sesuatu, sebenarnya aku sudah lama menyukai kau. Sejak dari percutian itu lagi," Sungguh aku tidak menyangka, Nazmi juga menyatakan perasaannya terhadapku seperti yang pernah diperkatakan oleh Shahrul dahulu. Namun,

"Biarlah aku berterus terang dengan kau, Nazmi. Sesungguhnya aku tidak menyangka kau akan berkata sedemikian dan aku sebenarnya tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadap kau. Ini kerana hati aku sudah dimiliki oleh budak yang dimaksudkan oleh kau itu. Aku harap kau boleh faham," kataku kepadanya supaya dia mengerti akan situasiku sekarang.

"Masih banyak lagi gadis di luar sana yang mungkin menjadi pencetus cinta di hati kau suatu hari nanti," sambungku lagi. Nazmi hanya menunduk, mungkin kecewa dengan apa yang telahku ajukan kepadanya. Tak lama kemudian, kami semua beredar ke sebuah bank yang terletak berdekatan dengan perpustakaan itu atas urusan yang telah diperintahkan oleh mama.

"Oh sorry, saya tak perasan awak tadi!" kedengaran suara seorang perempuan yang aku kenali, meminta maaf kepada Nazmi di pertengahan jalan di kaki lima bandar itu.

"Oh, Alia," sambungnya ringkas lalu meminta diri. Tiba-tiba Nazmi menegurku,

"Kau kenal perempuan itu?"

"Kenal sangat. Namanya Suraya, gadis cantik serta pintar di kawasan ini." balasku kepada Nazmi. Kulihat dia menoleh ke belakang sambil matanya tidak henti-henti memerhatikan Suraya sementara menunggu abang Hafiz menyelesaikan segala urusan di bank.

Setibanya di rumah, selepas makan malam, abang Hafiz dan Nazmi meminta diri untuk pulang ke hostel mereka. Aku bersalaman dengan mereka lalu masuk ke bilik untuk mempersiapkan hari esok.

*~*~*

"Alia!" Laung Mei Ling dalam keadaan teruja sambil berlari-lari anak kearahku. Aku yg sedikit terkejut cuba menenangkannya.

"Semalam semasa ketiadaan awak, kami berdua pergi ke perpustakaan sekolah untuk membuat ulangkaji. Kemudian, muncul Wei Hong yang ingin mengulangkaji bersama-sama." jelasnya kepadaku.

"Jadi, apa yang membuat awak begitu teruja?"

"Wei Hong duduk di sebelahnya, sambil memberi tunjuk ajar akan soalan yang susah," sampuk Sunita. "Hari ini mereka akan membuat ulangkaji lagi, marilah Alia." tambah Sunita lagi mengajakku. Aku hanya mengiyakan sahaja tuntutan mereka.

"Sunita, awak pun tentu ada cerita yang ingin dikongsi bukan begitu?" ujar Mei Ling kepada Sunita untuk membuka cerita.

"Iyalah Mei Ling. Semalam ketika melayari internet, saya berkenalan dengan seorang murid dari sebuah sekolah di bandar. Namanya Ganesh, seusia kita juga. Alangkah indahnya rasa hati ini," ceritanya dengan hati yang berbunga-bunga. Aku tumpang gembira pada kedua-dua mereka. Alangkah gembiranya jika aku sama seperti mereka sekarang.

"Apa yang kita akan belajar sekarang?" tegur Wei Hong memulakan ulangkaji. Kami menunjukkan buku modul latihan Matematik kepadanya lalu dia mengeluarkan modul yang sama. Sejak itu, hubungan Mei Ling dan Wei Hong semakin rapat dan Sunita pula semakin akrab dengan murid lelaki yang dia temui itu.

*~*~*

No comments:

Post a Comment