Thursday 14 August 2014

*Chapter* 2 : Hidup Sebagai Pelajar

*~*~*

Setelah beberapa ketika berada di tapak perhimpunan SMK Taman Makmur, akhirnya kami semua dibenarkan masuk ke kelas mengikut barisan masing-masing. Hidup tak semestinya sentiasa senang . Dalam perjalanan ke kelas , aku tersadung sesuatu dan hampir terjelepok ke tanah untuk kali keduanya . Nasib sahaja Sunita sempat menyambut tanganku daripada jatuh ke tanah merah di tepi taman sains yang baru siap didirikan itu. Kedengaran beberapa orang gadis ketawa geli hati di belakang kami seakan suka melihat aku sedemikian.

"Hahaha! Hoi perempuan, jalan itu tengok depan lah!" Kata-kata yang menyindir aku itu terpacul dari mulut Suraya , anak orang kaya di Taman Makmur yang sering disebut-sebut oleh masyarakat setempat akan kepintaran otaknya . Padaku walaupun pandai tetapi biadab tidak ada gunanya . Sunita dan Mei Ling sudah mula menarik-narik bajuku dan kami cepat-cepat beredar dari kawasan itu . Setibanya di kelas , seorang guru yang sudah pun kami kenali sejak tahun lepas iaitu Puan Haliza , telah berada di dalam kelas sambil memandang kearah kami bertiga dengan pandangan yang penuh rasa keibuan . 

"Kemana sahaja kamu bertiga ini pergi , sampai lambat masuk ke kelas. Apa-apapun sudah-sudah lah jangan terjegat sahaja , pergi ambil tempat kamu." Sifatnya yang kuat membebel itu sudah sebati dengan kami semua , tidak hairan lah jika kami menganggap Puan Haliza itu sebagai ibu kedua kami semua. Disebabkan ramai diantara kami semua sudah saling mengenali diri masing-masing, kami dibenarkan untuk membuat hal sendiri . Ramai yang bercerita tentang aktiviti yang dilakukan sepanjang cuti persekolahan termasuk aku , Mei Ling dan Sunita .

"Alia , mengapa awak tidak menjawab soalan saya tadi?" Aku tak menyangka Mei Ling masih ingat akan soalannya sebentar tadi . 

"Sebenarnya saya terlupa lah awak. Maaf lah ya," Mei Ling sudahpun menunjukkan aksi mulut itiknya itu jika dia berasa tidak puas hati terhadap sesuatu perkara .

"Haa muncung-muncung lah . Nanti saya tarik muncung awak itu , biar sama dengan itik ." Kata-kata Sunita membuatkan kami bertiga ketawa .

Ketika suasana kelas menjadi riuh rendah itu , muncul Encik Borhan dengan seorang murid lelaki . Dia menyatakan kepada Puan Haliza bahawa murid itu adalah murid baharu dan dia akan ditempatkan di dalam kelasku . Rupanya murid itu adalah murid yang melanggarku pagi tadi . 

"Mengapalah dia harus sekelas dengan aku?" Kata-kata itu secara tidak sengaja terkeluar dari mulut aku . 

"Siapa Alia?" Sunita bertanya kepadaku . 

Aku tidak menghiraukan soalan itu lantas memandang muka Shahrul yang berada betul-betul di hadapan kami . Dia dengan selamba melemparkan senyuman dengan bibirnya yang merah bak delima itu kepadaku sambil diperhatikan oleh pelajar lain . Suasana menjadi hingar-bingar seketika menyebabkan aku menjadi tidak keruan .

*~*~*

"Kenapa kau senyum pada aku? Kenapa kau sekelas dengan aku? Kenapa?" Soalan-soalan itu berlegar-legar di dalam kepalaku . Mei Ling dan Sunita hanya tersenyum seakan faham akan keadaanku sekarang . Namun aku tidak mahu perkara itu membuat aku hilang tumpuan terhadap pelajaran . Tujuan aku datang ke sekolah adalah untuk belajar demi masa depan aku sendiri . 

Setelah tamat sesi persekolahan , seperti biasa aku akan berjalan kaki bersama Mei Ling dan Sunita menuju ke rumah masing-masing yang terletak tidak terlalu jauh dari sekolah . Kami hanya berjalan kaki pada hari Isnin kerana jadual pada hari itu mempunyai penambahan 1 jam dari hari biasa . Ketika itulah kami akan mula bergossip tentang sesiapa sahaja yang mempunyai kisah menarik . 

Sesampainya di rumah , aku terus masuk ke bilikku yang berwarna merah jambu lembut dihiasi kelengkapan yang berwarna putih . Aku kemudiannya membuka jendela di bilikku seluas-luasnya memandangkan hari tidak hujan . Angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup lembut membuatkan aku hampir terlelap di atas katil dengan pakaian sekolah . Setelah siap menguruskan diri , aku turun ke dapur untuk melihat Mak Jah , pembantu rumah yang memang mesra dengan kami semua sejak kecil sedang membakar sesuatu . Aku yang sedikit nakal ini sengaja mengejutkan Mak Jah dari arah belakang . Jika dibilang patah katanya ketika melatah , nescaya tidak cukup tangan hendak diguna .

"Ish Alia ini , sengaja sahaja hendak membuat makcik terkejut ya!" bising Mak Jah .

"Sekali sekala Mak Jah , bukan selalu," balasku sambil ketawa kecil . 

Mak Jah yang sedang sibuk nampaknya tidak menghiraukan aku yang cuba mengacaunya . Aku pun mengambil keputusan untuk beredar dari dapur dan masuk ke bilik untuk mengulangkaji pelajaran .

*~*~*

No comments:

Post a Comment