Thursday 14 August 2014

*Chapter* 12 : Raya Kian Menjelang

*~*~*

Minggu ini merupakan minggu yang terakhir sebelum cuti Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang. Akan tetapi, aku dapat merasakan bahawa hari raya pada tahun ini tidak akan semeriah sebelumnya. Ini kerana aku lebih memikirkan tentang Perperiksaan Percubaan SPM yang akan berlangsung pada hujung bulan ini. Oleh itu, aku lebih banyak menghabiskan masa di perpustakaan sekolah sejak minggu lalu untuk mengulangkaji pelajaran serta cuba untuk mencapai sasaran yang diingini oleh mama dan papa. Shahrul yang sedar akan ketiadaanku di perhentian bas seperti hari biasa kemudiannya bertanya kepadaku,

"Alia, awak pergi ke mana selepas waktu sekolah? Saya tidak nampak kelibat awak di tempat selalu. Takut juga kalau-kalau awak diculik oleh makhluk asing." tanya Shahrul dengan nada gurauan.

"Saya pergi ke perpustakaan sekolah." balasku dengan mata tidak lekang dari buku nota ringkas Sejarah itu.

"Oh begitu," jawab Shahrul.

"Kalau saya ikut serta ulangkaji dengan awak, boleh?"

Pertanyaan Shahrul itu membuatkan aku serba salah. Hendak ditolak, rasa berdosa. Hendak setuju, segan pula. Renungan Shahrul yang dari tadi menunggu jawapan itu membuatkan aku gelisah.

"Sukahati awak lah." akhirnya itu yang terpacul dari mulutku.

"Okay, petang ini saya ambil awak. Kita pergi ke perpustakaan awam di bandar. Di sana lebih banyak buku ". Aku mengiyakan sahaja.

*~*~*

Petang itu aku menunggu ketibaan Shahrul bersama Mei Ling. Sunita tidak dapat bersama kerana dia terlebih dahulu pulang ke kampung halaman. Sebagai masyarakat Satu Malaysia, perayaan pelbagai kaum haruslah dikongsi bersama. Selang beberapa minit, Shahrul datang menaiki kereta Proton Waja.

"Mungkin milik ayahnya." Getus hati kecilku.

Disampingnya terdapat seorang remaja lelaki berbangsa Cina, mungkin juga rakan kepada Shahrul. Aku dan Mei Ling masuk ke tempat duduk belakang selepas bersalam dengan mama di perkarangan rumah. Kami meluncur menyusuri jalan di taman perumahan itu menuju ke bandar.

"Kenalkan, ini Wei Hong." Kata Shahrul memulakan bicara. Aku dan Mei Ling mengambil giliran memperkenalkan diri kepadanya. 

"Hi Mei Ling, Alia. Saya Wei Hong dari kelas 5Akaun1." Balasnya dengan nada mesra. Sepanjang perjalanan, kami saling berkongsi maklumat mengenai latar belakang diri sehingga menimbulkan suasana yang agak riuh di dalam kenderaan milik Shahrul.
Setelah tiba, sambil mencari buku ilmiah di antara rak-rak buku itu, Shahrul menyapa,

"Awak raya di mana tahun ini?"

"Entah, saya tidak pasti. Mungkin pulang ke kampung dua tiga hari, dan kemudian balik ke rumah pada raya keempat." Jawabku spontan sambil memandang wajahnya.

Aku tidak terfikir langsung tentang persiapan menyambut hari raya, mungkin aku terlalu fokus pada pelajaran hingga aku tiada masa untuk menggembirakan diri sendiri. Setelah mengambil buku yang hendak dipinjam, aku pergi ke kaunter untuk urusan pinjaman buku.

*~*~*

Setelah hampir sebulan berpuasa, akhirnya hari terakhir bulan Ramadhan tiba. Semua ahli keluargaku sibuk mengemas barangan kepunyaan masing-masing untuk bersiap pulang ke kampung halaman. Aku tidak sabar untuk berjumpa dengan datuk dan nenek di kampung kerana sudah lama tidak berjumpa. Bukan mudah untuk golongan seperti papa bercuti raya, tambahan lagi jika syarikat papa mempunyai urusan yang mustahak dan tidak dapat ditunda.

"Kak Halijah, tahun ini akak pulanglah ke kampung. Asyik duduk menjaga rumah kami, serba salah pula saya." Kata mama kepada Mak Jah. Aku hanya mendengar sahaja perbualan mereka disebalik tirai yang memisahkan antara ruang tamu dan bahagian dapur itu.

"Nanti saya call Zamir untuk ambil Mak Jah ya." Celah papa pula. Sambil mereka berbual, aku teringat akan cerita Mak Jah ketika berbual dengan mama dan papa suatu ketika dahulu.

Zamir itu merupakan anak angkat Mak Jah. Sememangnya, dia mempunyai sebuah keluarga yang bahagia dahulu. Akan tetapi, setelah suaminya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, semua ahli keluarga sebelah suaminya memulaukan dia atas sebab-sebab tertentu. Antara alasannya ialah Mak Jah tidak dikurniakan zuriat. Hendak dijadikan cerita, suatu hari, Mak Jah menjumpai seorang bayi yang cukup sifat di dalam kotak yang terletak di tepi jalan di bandar.

Atas keprihatinannya sebagai manusia, dia kemudiannya mengambil bayi itu sebagai anak angkat dan dinamakan sebagai Zamir. Demi menyara kehidupan, Mak Jah mencari kerja di bandar namun nasib tidak menyebelahinya. Suatu hari, Mak Jah datang meminta kerja dari rumah ke rumah. Mama yang kebetulan memerlukan pembantu rumah mengambil Mak Jah sebagai orang gaji di rumah ini. Setelah segala urusan perbincangan dan surat-menyurat selesai, maka sahlah Mak Jah sebagai pembantu rumah di rumah ini. Jadi, tidak hairanlah jika kami rapat dengan Mak Jah kerana sejak kecil dia telah menjagaku.

Tengahari itu, kami terdengar sebuah kereta membunyikan hon di luar pagar. Rupanya beliau adalah Zamir, anak kepada Mak Jah yang datang menjemputnya untuk beraya. Kami mengucapkan selamat pergi kepada Mak Jah sekeluarga. Satu jam kemudian, barulah kami sekeluarga bertolak ke Ipoh, Perak dimana terletaknya kampung kami.

"Lia, cuba call Along. Tanyakan dia sama ada dia pulang beraya di kampung ataupun tidak." suruh papa kepadaku. Aku menuruti sahaja perintahnya dengan mendail nombor berkenaan.

"Assalamualaikum Abang Saiful, abang pulang ke kampung atau tidak tahun ini?" aku mengajukan soalan.

"Waalaikummussalam, ya tahun ini abang pulang ke kampung Lia, kirim salam abang dan kak Ros kepada semua ya?" balas abangku ringkas. Aku mengiyakan lalu mematikan talian. Kemudian, aku sampaikan pesanan dari abang kepada semua.
Kami berhenti sebentar di kawasan Rehat dan Rawat untuk membeli buah tangan untuk datuk dan nenek.

"Assalamualaikum Hafiz, kamu pulang beraya atau tidak tahun ini? Bagaimana dengan Nazmi?" Papa menelefon abang Hafiz sambil menunggu mama.

"Waalaikummussalam papa, Fiz rasa mungkin Fiz tak dapat balik. Assigment yang ada ini pun belum sempat disiapkan. Kirim salam sahajalah kepada atok dan nenek ya?" balas abangku. Papa mengiyakan lalu mematikan talian.

Kami kemudiannya meneruskan perjalanan. Jarak antara bandar dan kampung yang mengambil masa 5 jam itu membuatkan aku berasa mengantuk tambahan pula aku bangun pada awal pagi untuk menyiapkan segala kelengkapan. Jadi, aku mengambil keputusan untuk melelapkan mata buat beberapa ketika.


*~*~*


"Shahrul, ibu tanya sikit boleh?"

"Apa dia, ibu?"

"Shahrul, pernah ada hati tak dekat Alia?"

"Ish ibu ni, kenapa tanya macam itu?"

"Tidaklah, ibu lihat kamu dengan dia bukan main mesra lagi, masakan tidak ada..."

"Sebenarnya, memang ada. Shahrul saja tidak mahu beritahu dia."

"Ha, kalau begitu cepatlah beritahu dia, boleh kita mulakan proses peminangan!"

"Baiklah, ibu."

Lantas aku bangun daripada lamunan mimpi yang amat menakutkan itu. Mengapa aku termimpikan dia pula? Apa maksud mimpi ini? Mengapa? Persoalan yang sebelumnya muncul semula di benak fikiranku menyebabkan fikiranku semakin kusut. Perasaan yang masih tidak hilang dari hatiku ini semakin kuat mencengkam. Aku tidak tahu samaada aku harus kekal menyukai dia ataupun tidak.

"Ah, anggap sajalah ianya mainan tidur." Kataku di dalam hati, cuba menenangkan diri.
Mimpi sebentar tadi itu membuatkan aku berfikir tentang perkahwinan di awal usia. Pada zaman serba moden sebegini, sudah ramai kaum hawa berpelajaran tinggi, lantas menyebabkan ramai wanita di luar sana lambat berkahwin.

Apapun, aku akan cuba seimbangkan perkara itu jika sudah sampai masanya kelak. Lagipun, aku masih muda untuk berfikir tentang hal-hal sebegitu. Apa yang penting sekarang ialah kepulangan aku serta keluarga ke kampung halaman dimana datuk dan nenekku berada.


*~*~*

No comments:

Post a Comment