Thursday 14 August 2014

*Chapter* 16 : Malang

*~*~*

"Alia, kami tengok awak ini asyik muram sahaja. Ceritalah pada kami," tegur Mei Ling bersama Sunita disampingnya.

"Apapun ini mesti berkait dengan Shahrul kan? Sejak dari minggu lepas lagi awak sudah tidak bercakap dengan dia, mengapa?" celah Sunita pula. Aku menghela nafas beberapa kali sebelum memberitahu mereka hal yang sebenarnya. Walaupun mereka tidak dapat merasai keperitan yang aku alami, namun sedikit sebanyak ia dapat mengurangkan rasa bebanan yang harus ku lalui. Bak kata pepatah, 'berat mata memandang, berat lagi bahu memikul'.

Ketika waktu rehat, aku pergi ke kedai buku sekolah untuk membeli beberapa alat tulis. Sedang menunggu giliran tiba-tiba, bahuku dicuit dari belakang,

"Hoi Alia! aku dengar, kau dengan Shahrul sudah tak bertegur lagi. Betulkah apa yang aku dengar?" tanya Suraya kepadaku dengan nada memerli.

"Aku tidak mahu bercakap tentang dia," balasku cuba untuk mengelak.

"Oh, so betullah ini ya? Baguslah kalau begitu, sememangnya aku tak suka kau rapat dengan dia. Baguslah kau dah boleh faham sekarang kan," katanya berlalu pergi sambil mentertawakan aku. Aku cuba menahan sabar selagi termampu.

Pada hari Jumaat itu, Shahrul tidak hadir ke sekolah. Aku berasa hairan kerana dia tidak pernah ponteng sekolah. Tetapi aku lebih musykil dengan diriku sendiri, yang tidak pernah berhenti memikirkan tentangnya. Lebih-lebih lagi selepas kejadian itu.

"Alia, mana Shahrul?" tanya Mei Ling cuba mengusikku.

"Saya tak berminat untuk bercerita tentang dia," balasku ringkas.

"Bukan awakkah yang sibuk bercerita tentangnya dahulu?" sampuk Sunita pula. Aku memandang mereka dengan wajah yang seakan merajuk.

"Janganlah begitu Alia, kami bergurau sahaja lah," pujuk mereka. Aku hanya tertawa walaupun di dalam hati ini masih lagi terluka.

*~*~*

"Mama baru dapat satu call dari Aunty Ju, esok kita melawat Shahrul ya." ajak mama kepadaku. Aku berasa agak hairan, mengapa harus aku, melawat Shahrul?

"Semalam Shahrul terlibat dengan kemalangan, dia kini berada di Hospital Ampang," sambung mama lagi. Alangkah hibanya rasa hati ini apabila terdengar khabar berita yang amat menyedihkan itu. Aku cuba tidak mengeluarkan air mata ketika mama menceritakan hal itu.

Keesokan harinya, aku, papa, dan mama tiba di hospital yang dimaksudkan. Begitu juga dengan Encik Rahman dan Puan Julia.

"Mari saya tunjukkan wad Shahrul," kata Encik Rahman kepada papa. Aku hanya mengekori mereka dari belakang. Seminit kemudian, akhirnya kami tiba di wad yang dimaksudkan. Kulihat sekujur tubuh sedang berbaring di atas katil serta berbalut pada kaki dan tangannya. Aku hanya berpaling ke arah lain apabila Shahrul memandang ke arahku. Kemudian, aku meminta izin untuk keluar dari bilik itu, dengan alasan untuk pergi ke tandas.

Dalam perjalanan pulang dari tandas, aku terserempak dengan Suraya, sepupu Shahrul.

"Wait for a minute! Apa kau buat dekat sini?" tanya dia kepadaku dengan nada seperti tidak puas hati.

"Ayah Shahrul ialah rakan sekerja papaku, jadi dia mengajak keluargaku melawat Shahrul," balasku ringkas.

"Kau dengar sini," belum sempat Suraya menghabiskan kata-katanya, Encik Rahman muncul diantara kami berdua.

"Kamu berdua sudah kenal kah?" tanya Encik Rahman kepadaku. Aku hanya mengangguk, begitu juga Suraya. Kami berpura-pura bersalaman sebelum seorang jururawat memanggil namaku,

"Siapa Nur Alia Nasuha? Pesakit hendak berjumpa," Aku kemudiannya mengekori jururawat itu masuk ke dalam bilik pesakit.

Masuk sahaja ke dalam bilik itu, hanya aku dan Shahrul sahaja yang berada di situ. Aku mula terfikir, untuk tujuan apa dia memanggilku seorang? Untuk menambah luka di hati ini? Aku cuba untuk tidak memikirkan hal itu dan cuba berdamai. Aku duduk di atas sebuah kerusi bersebelahan katilnya.

"Awak okay ke?" tanyaku memulakan bicara.

"Kalau dah berbalut, dimana yang okay nya," balasnya spontan. Aku hanya tertawa kecil.

"Apa tujuan awak melawat saya?" soalan yang berbentuk seperti perangkap ini lagi sekali diajukan kepadaku.

"Saya hanya mengikut keluarga saya, lagipun ayah awak sudah mengajak. Kalau mereka tidak beritahu, mungkin saya tidak tahu awak di sini." Balasku pula dengan berjaga-jaga.

"Oh, tidaklah ikhlas sebenarnya awak datang melawat saya. Mungkin kalau saya mati pada waktu itu, lebih senang awak bermesra dengan Nazmi," katanya dengan nada yang perlahan. Aku lihat matanya sudah mulai kemerah-merahan, seperti orang hendak menangis. Aku mula menitiskan air mata lalu berkata dengan nada yang lemah,

"Awak, janganlah cakap macam itu. Saya ikhlas melawat awak. Mengapa sejak hari itu awak mula berubah? Saya minta maaf kalau saya pernah melukakan hati awak. Saya betul-betul minta maaf."

Kami saling berpandangan sebelum dia berpaling ke arah lain. Aku hanya keluar dari bilik tersebut selepas dipanggil oleh papa.

*~*~*

Keesokan harinya pada waktu rehat, seperti biasa aku akan menggunakan peluang yang ada untuk mengulangkaji pelajaran. Tiba-tiba, Aku ditarik keluar daripada kelas oleh seseorang. Ditolaknya aku ke dinding di belakang sekolah.

"Kau kenapa bermesra sangat dengan Shahrul? Kau faham tak dia aku punya?!" jerit Suraya kepadaku. Aku cuba membela diri dengan menyatakan pendirianku,

"Sebenarnya, aku tidak sikit pun bermesra dengan dia. Kami cuma berkongsi perihal masing-masing, tidak salah pun kan?"

"Kau jangan nak tunjuk belang, aku sepupu dia, jadi kau tidak ada hak untuk cakap dengan dia jika aku tidak membenarkan, faham?!" Sambungnya lagi.

"Maaflah jika perkara sekecil itu boleh menjadi racun kepada kehidupan seharian kau," kini tiba masanya untuk aku mengeluarkan kata-kata memerli kepadanya. Tak semena-mena pipiku terasa hangat, akibat daripada tamparan yang diberikan olehnya.

"Apa yang sedang berlaku di sini?!" tanya Encik Borhan, seorang guru disiplin yang kebetulan lalu di situ. Kami berdua hanya mendiamkan diri.

"Siapa yang memulakan pergaduhan?" Kami hanya memandang ke arah lantai. Walaupun aku tidak bersalah, namun aku tetap takut jika perkara ini sampai ke telinga papa.

"Suraya yang memulakannya cikgu!" Laung satu suara dari arah dewan, kemudian semakin lama semakin ramai yang mengiyakannya.

"Suraya, ikut saya ke pejabat dan Alia, tolong jaga diri awak dan jangan sampai menimbulkan pergaduhan lagi, faham?" Kata Encik Borhan dengan nada yang tegas dan lantang. Aku kemudian meminta izin untuk pulang ke kelas. Aku harap dengan kes ini Suraya dapat mengubah sikapnya.

*~*~*

No comments:

Post a Comment