Thursday 14 August 2014

*Chapter* 9 : Percutian

*~*~*

Ketika sedang menjamu selera , kedengaran sebuah kereta lain masuk ke dalam porch . Terdapat seorang lelaki pertengahan usia keluar dari kenderaan tersebut . Aku yang sudah menjamah hidangan tengahhari itu pergi menyambut papa di muka pintu . Papa kelihatan ceria sahaja seraya tanganku menyambut salam yang dihulurkan olehnya . Nazmi dan abang hanya memberikan senyuman mesra tanda menghormati. Papa kemudiannya melabuhkan punggung di sofa hadapan dan memberikan beg kerjanya kepadaku. Dari riak muka papa yang tidak berubah sejak tadi, aku dapat merasakan bahawa satu perkara baik akan diperkatakan .

"Kalau kita pergi bercuti di mana-mana sepanjang minggu ini pasti seronok." ujar papa yang kemudiannya membuatkan aku dan Danial berasa teruja. Aku sudah mengagak papa pasti ingin meluangkan masa untuk kami semua. Pelbagai tempat menarik telah dicadangkan oleh aku dan Danial sehingga keadaan menjadi riuh rendah sebentar.

"Elok sangatlah Nazmi ada sekali, lusa nanti kita akan bertolak ke Cameron Highlands." ujar papa lagi. Aku hanya mengangguk kerana terlampau teruja. Bukan selalu kami dapat meluangkan masa bersama. Papa terlampau sibuk dengan kerja sehingga tiada masa untuk kami sekeluarga. 

"Memandangkan cuti yang diberikan oleh syarikat papa ini panjang, papa telah mengajak keluarga Encik Rahman untuk bercuti bersama. Tadi papa dah call Along, tetapi dia tidak dapat ikut serta atas urusan kerja." kata-kata papa itu mengubah raut wajahku. Jika begitu, Shahrul pasti ada bersama. Aku cuba untuk tidak memikirkan hal itu dan terus beredar ke dapur untuk membantu Mak Jah.

Hari yang dijanjikan akhirnya tiba, papa telah menempah hotel di sana untuk 3 hari 2 malam, jadi terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan .Bagasi-bagasi yang telah diisi dengan pakaian itu dimasukkan ke dalam bonet kereta. Pada mulanya Mak Jah menolak pelawaan papa untuk ikut serta , namun setelah dipujuk mama dan aku , Mak Jah akhirnya mengalah. Aku hanya tertawa melihat gelagat Mak Jah yang serba salah kerana mengikut percutian kami sekeluarga. Padaku Mak Jah juga ibarat salah satu ahli keluarga ini. Aku mengambil tempat duduk di belakang kerana ianya selesa bagiku.

Kami singgah sebentar di restoran berdekatan untuk menunggu keluarga Encik Rahman dan makan tengahhari dahulu. Setelah beberapa minit, akhirnya mereka tiba. Aku bersalaman dengan Aunty Ju namun mataku tidak lekang dari memandang anak tunggalnya itu. Perasaan yang terbuku di hati ku ini belum lagi dapat diluahkan, mungkin hanya menunggu masa. Setelah selesai, kami semua meneruskan perjalanan menuju ke destinasi.


*~*~*

Setelah beberapa jam perjalanan, akhirnya kami semua tiba di hotel yang dimaksudkan. Hotelnya kelihatan agak mewah, namun kerana terlampau penat aku mengambil keputusan untuk terus masuk ke bilik. Aku membuka laman sosial Facebook sementara menunggu papa mengambil kunci di lobi. Setelah beberapa ketika, aku mengambil kunci dari papa kemudian mengiringi menuju ke bilik yang mempunyai nombor yang tertera di kunci itu.

Mak Jah mengekori aku dari belakang kerana kami berdua tidur sebilik. Walaupun penat, aku tetap teruja tentang aktiviti hari esok yang sememangnya telah dirancang oleh papa dan Encik Rahman. Tambahan pula, orang yang aku suka dalam diam ada bersama, ini membuatkan aku tidak sabar untuk memulakan hari esok. Biarlah percutian ini menjadi percutian yang terindah buatku di alam persekolahan.

Tepat pukul 6.00 pagi, aku sudah terjaga dari tidur dan bersiap-siap untuk menunaikan solat Subuh. Ahli keluarga yang lain pun sudah mula untuk berkemas-kemas, termasuk keluarga Aunty Ju. Setelah selesai , papa memberitahu bahawa papa ingin bertolak ke ladang teh sebagai destinasi pertama untuk hari ini. Aku hanya mengangguk sambil mengemas apa yang patut. Kami bersarapan pagi di hotel sebelum menuju ke ladang teh yang dimaksudkan papa. 

Aku amat terpegun dengan keindahan yang dicipta oleh Tuhan di muka bumi ini apabila tiba di ladang teh itu. Gunung-gunung kelihatan hijau di pagi yang tenang dan nyaman ini. Suhu di kawasan ini juga tidak terlampau panas membuatkan aku berasa amat selesa. Mama,Aunty Ju dan Mak Jah sudahpun berjalan beriringan melalui celah-celah pokok teh yang separas pinggangku itu. Aku yang agak terkial-kial sebentar tadi berlari-lari anak untuk mengejar mereka. 

"Wah bestnya! Sejuk betul tempat ni." kata Danial yang baru pertama kali tiba di sini. Aku hanya tersenyum kerana ini kali kedua aku menjejakkan kaki di sini walaupun aku tidak mengingati langsung bahawa aku pernah bercuti di sini. Sesekali mataku menjeling ke arah Shahrul yang kelihatan sedang berbual bersama abang Hafiz. Ternyata dia kelihatan mudah mesra kerana senyuman sentiasa terkuntum di bibirnya. Aku tertanya-tanya apakah yang sedang dibualkan oleh mereka berdua. Kemudian, aku memandang pula ke arah Nazmi, namun dia lebih suka menyendiri berbanding Shahrul.
*~*~*
"Nazmi! Tengah tengok apa tu?" tegurku seraya tersenyum. Sebagai sepupu, aku tidak mahu dia berasa kekok apabila disapa oleh perempuan. Sememangnya dia seorang yang pemalu dengan perempuan sejak dahulu, hanya aku sahaja yang dia mudah mesra. Nazmi berpaling dan membalas senyumku. 

"Tak ada apa-apa lah. Aku tengah tak tahu nak buat apa sekarang ni." balas Nazmi namun dia tidak memandangku. Aku tertawa kecil kerana perangainya tidak berubah sejak dahulu. 

"Oh dah sombong sekarang tak nak pandang. Tak mengapalah aku faham." kataku dalam nada seperti merajuk. Secara tidak langsung, Nazmi memandangku sambil tersengih. Aku berasa amat pelik kerana tiada apa yang lucu di dalam ayatku tadi. 

"Kau ni sikit-sikit nak merajuk, tak matang langsung, macam dahulu juga." kata-kata Nazmi itu membuatkan aku berasa agak tercabar, namun aku tidak menunjukkan sebarang reaksi sebaliknya hanya mendiamkan diri. Kami berdua meneruskan perjalanan melalui pokok-pokok teh itu sehinggalah papa memanggil kami berdua. 

Sebelum beredar kami semua sempat mengambil gambar sebagai kenang-kenangan. Tiba-tiba, Nazmi berdiri di sebelahku untuk bergambar bersama. Aku hanya tersenyum kerana memang sudah lama kami berdua tidak mempunyai gambar bersama. Setelah selesai, aku meminta gambar itu dari kamera mama untuk di-upload ke laman sosial Instagram. Mungkin ramai yang akan tertanya-tanya siapakah gerangan lelaki di sebelahku itu. Mungkin juga ada yang akan berasa cemburu melihat keakraban kami. Dalam perjalanan menuju ke kereta, aku ternampak bahawa Shahrul tercicir sesuatu barang kepunyaannya.

"Shahrul! awak tercicir gambar budak kecil ni. Comel sungguh budak ini." kataku sambil ketawa kecil kerana aku tahu gambar itu adalah dirinya ketika kecil kerana aku pernah terlihat gambar budak itu ketika berkunjung ke rumahnya. Shahrul berpaling kemudian mengambil gambar itu dariku tanpa sepatah kata. Riak mukanya juga tidak menunjukkan sebarang respons. Aku sudah mula gelisah jikalau aku ada membuatnya berasa kecil hati. Tanpa membuang masa aku terus masuk ke dalam kereta menuju ke destinasi kedua.


*~*~*

No comments:

Post a Comment