Thursday 14 August 2014

*Chapter* 7 : Usaha Tangga Kejayaan

*~*~*

Hari yang dinantikan telahpun tiba , aku menyarung tudung sekolah yang telah dijahit nama milikku dan juga lencana sekolah tempat aku menuntut ilmu . Di kesejukan subuh ini aku terhidu masakan mama lalu aku turun ke bawah untuk bersarapan sejurus mendengar namaku dipanggil . Aku , Danial dan papa bersarapan sebelum menuju ke destinasi masing-masing . Aku bersalaman dengan mama dan meminta supaya didoakan agar aku cemerlang dalam perperiksaan kali ini , begitu juga dengan papa .

Setibanya di sekolah , aku dan Mei Ling menunggu Sunita tiba ke sekolah di tangga berdekatan dengan pintu masuk ke sekolah . Ketika itu aku dan Mei Ling sedang bercerita tentang perperiksaan dan entah macam mana termasuk pula tajuk tentang 'crush' , iaitu orang yang kita suka dalam diam .

"Sebenarnya awak ada hati pada Shahrul kan?" tanya Mei Ling kepadaku . Aku agak terkejut kerana dia dapat meneka isi hatiku . Aku yang tidak pernah pandai menipu sejak kecil hanya mendiamkan diri .

"Selalunya kalau seseorang itu diam apabila ditanya , tandanya ya!" ujar Mei Ling lalu ketawa berdekah-dekah . Aku sudah mula gelisah jikalau perkara ini sampai ke telinga Shahrul . Mungkin dia akan betul-betul membenciku jika dia mengetahui perkara ini . Selang beberapa minit , Sunita muncul di pintu pagar sekolah berjalan ke arah kami . Kami berjalan bersama-sama menuju ke tapak perhimpunan . Dalam masa yang sama , aku terserempak dengan Shahrul namun kami tidak bertegur sapa dan hanya memberi senyuman . Aku cuma berharap perkara ini dapat dirahsiakan dengan baik .

Masuk sahaja ke kelas , aku duduk di tempatku menggunakan masa yang ada untuk membaca buku . Tiba-tiba , kerusi di hadapanku dipusingkan kearahku dan seorang pelajar lelaki duduk diatasnya . Aku tahu akan pelajar itu namun aku cuba buat tidak peduli . "Pelajaran lebih penting!" , kata hati kecilku .

"Jom kita ulangkaji sama-sama?" katanya sambil tersenyum . Aku hanya mengangguk dan memperbetulkan kedudukan agar lebih selesa . Dia tidak pernah lekang dari memberikan senyuman , aku tidak faham mengapa . Setelah beberapa ketika , perperiksaan bermula . Semua pelajar meletakkan beg di luar kelas , hanya alat tulis yang dibenarkan masuk . Dua kertas perperiksaan akanku jawab pada hari ini . Aku memohon kepada Tuhan agar memudahkan segala urusanku .

Setelah tamat sesi persekolahan , aku pulang ke rumah seperti biasa . Hari ini aku berasa terlampau penat setelah berhempas-pulas memikirkan jawapan pada kertas-kertas soalan di sekolah tadi . Aku hanya makan sedikit untuk mengalas perut , kemudian aku naik ke bilik untuk melelapkan mata sebentar .


*~*~*

Buka sahaja mata , aku lihat jam sudah menunjukkan pukul 4.30 petang . Daripada terperuk di dalam rumah , aku mengambil keputusan untuk bersiar-siar di taman , sekaligus menenangkan fikiranku yang kusut . Dalam perjalanan , aku terserempak dengan Suraya . Dia memang sengaja cuba untuk mencari gaduh denganku .

"Hoi perempuan! Cari Shahrul ke? Kau tahu kan dia sepupu aku , jadi jangan nak gatal sangat!" Aku tergamam mendengar dia berkata seperti itu . Kali ini dia memang sudah melampaui batas . Aku bukan perempuan terdesak! Aku tidak layak digelar sedemikian!

"Kau dah kenapa sebenarnya? Apa yang kau tidak puas hati pada aku? Mulut kau memang terlampau celupar kau tahu tak!" balasku kepadanya dengan nada yang amat marah . Akhirnya tercetus pergaduhan mulut antara kami berdua . Sebelum itu aku cuba bersabar namun dia memang sudah tidak boleh dimaafkan . Selepas beberapa ketika , dia cuba untuk menolakku namun dihalang oleh seseorang .

"Boleh tak kau jangan kacau hidup dia?" marah Shahrul kepada Suraya . Aku tidak tahu bagaimana dia boleh muncul dengan tiba-tiba di antara kami berdua . Suraya kemudian memuncungkan bibirnya lalu beredar dari kawasan itu secepat yang boleh . Aku hanya terduduk di atas buaian sambil menahan airmata daripada menitis . Pedih hati ini tidak dapat digambarkan .

"Awak okay, Alia?" tegur Shahrul . Aku yang tidak menghiraukan kehadiran dia terus menangis dan menangis .  Kemudian , dia mengenggam kedua-dua belah tanganku . Aku terkejut kerana sebelum ini dia tidak pernah melakukan hal sedemikian . Aku memandang tepat ke arahnya , begitu juga dia . Seribu persoalan bermain di fikiranku yang sememangnya penuh dengan permasalahan yang belum terungkai .

"Awak , lepas ni beritahu saya kalau ada apa-apa yang merunsingkan atau menjadi masalah kepada awak , dengan izin Tuhan , saya akan cuba membantu apa yang termampu . Berhenti menangis okay?" kata-kata yang diucapkan oleh Shahrul itu amat bermakna buatku . Aku tersenyum melihat reaksinya yang sedaya-upaya cuba membuat aku gembira . Ini mungkin salah satu sebab mengapa aku terpikat dengannya . Kami berjalan beriringan menuju ke rumahku kerana katanya dia ingin memastikan aku selamat sepanjang jalan . Aku mengucapkan terima kasih terhadapnya sebelum dia beredar .

Malam itu aku menceritakan hal itu kepada Danial , adikku yang kadangkala degil namun bagi hal-hal seperti ini , dia ibarat pendengar setia dan juga penasihat yang tidak seberapa berkelayakan . Apapun dia merupakan satu-satunya adik kesayanganku walaupun perangainya tidak berapa disayangi .

"Oh , itu maknanya dia ada hati terhadap kakak!" jawab Danial selepas aku menceritakan hal itu kepadanya .

"Tetapi mengapa dia tidak mengaku sahaja? Berterus-terang itu kan lebih baik?" balasku dengan penuh kehairanan sambil membuat ulangkaji . Kuselak satu persatu helaian demi helaian yang terkandung di dalam buku rujukan Sejarah setebal satu inci itu .

"Pernahkah kakak mengaku yang kakak juga ada hati terhadap dia?" Aku tersentak mendengar jawapan yang terpacul dari mulut Danial . Aku tidak menyangka yang dia juga tahu aku menyukai Shahrul . Adakah ia terlampau jelas? Aku hanya menggelengkan kepala . Danial hanya ketawa kemudian turun ke tingkat bawah kerana mama memanggilnya .


*~*~*

Setelah hampir seminggu perperiksaan dijalankan , akhirnya ia tamat jua . Hari ini merupakan hari yang cukup indah buatku , tidak perlu risau tentang perperiksaan lagi . Aku hanya menghitung hari bilakah abang Hafiz akan berkunjung ke rumah . Aku amat rindu kerana sudah lama tidak berjumpa dengannya , begitu juga dengan abang Saiful .

Mei Ling dan Sunita sudah mula berindu-rinduan kerana hari ini merupakan hari terakhir persekolahan . Gelagat mereka yang saling berpelukan dan berpura-pura menangis itu amat mencuit hati . Terdapat juga pelajar yang membawa telefon bimbit ke sekolah untuk bergambar . Walaupun ia dilarang oleh pihak sekolah , namun kami tidak menghiraukannya . Dalam fikiran kami ialah bergambar pada hari terakhir persekolahan sebelum cuti itu sememangnya wajib!

"Shahrul! Marilah bergambar dengan Alia! Kasihan dia keseorangan." ujar Sunita yang berada dihadapanku sambil ketawa memegang telefon bimbit miliknya . Aku sungguh segan apabila diperlakukan sedemikian . Shahrul pula seperti memang ingin bergambar denganku . Aku tidak bergerak namun aku tidak menyangka bahawa dia akan duduk di sebelahku . Aku cuma berharap proses mengambil gambar ini dilakukan dengan segera kerana aku sudah tidak dapat menahan malu .

"Okay sudah siap!" kata Mei Ling . Aku bingkas bangun dari tempat dudukku untuk melihat gambar tersebut  . Ternyata gambar itu kelihatan sempurna . Aku menyukainya namun tidak berani untuk meminta dihantarkan ke telefon bimbitku kerana aku tidak mahu rahsiaku bocor . Biarlah aku , Mei Ling dan Sunita sahaja yang tahu . Sedang asyik melihat gambar-gambar itu , aku sempat menoleh ke arah Shahrul . Aku cepat-cepat mengalihkan pandangan kerana dia juga memandangku .

Setelah persekolahan tamat , aku menunggu mama seperti biasa di perhentian bas . Tetapi Shahrul tidak muncul di tempat biasa seperti selalu . Aku kehairanan namun aku tidak boleh berbuat apa-apa kerana mama sudah tiba . Aku hanya berjalan perlahan menuju ke kereta sambil mataku meliar mencari di manakah Shahrul berada .

"Cari siapa tu?" tegur mama dari dalam kereta . Aku hanya menggelengkan kepala kemudian masuk ke dalam kereta . Mama kemudiannya memandu terus ke rumah . Mungkin dia mempunyai urusan lain , ataupun dia tidak pulang bersama Aunty Ju . Aku tidak mahu memikirkan tentangnya sekarang kerana apa yang lebih penting ialah kehadiran abang Hafiz ke rumah .


*~*~*

No comments:

Post a Comment