Thursday 14 August 2014

*Chapter* 11 : Musim Berubah

*~*~*

Setelah selesai menyiapkan segala kerja rumah dan tugasan yang diberikan oleh guru itu, aku pergi ke dapur untuk melihat kalau-kalau Mak Jah sedang menggoreng sesuatu kerana bauan yang hinggap di hidungku amat mengasyikkan. Setelah dibuka tudung saji, aku ternampak beberapa ketul nugget ayam yang masih hangat beralaskan kertas doili. Aku ingin menyambar namun cubaanku terbatal kerana Mak Jah mengerling ke arahku dengan senyumannya yang sinis. Aku mengambil seketul nugget itu dan kemudian aku ke ruang tamu sambil membawa balang berisi kacang gajus.

Sedang asyik menyumbat kacang itu ke dalam mulut sambil menonton televisyen, papa & Nazmi turun ke tingkat bawah disusuli oleh abang Hafiz dan mama. Nampaknya mereka sudah mahu berangkat pulang ke universiti tempat mereka menyambung pelajaran. " Terima kasih uncle, aunty! " ucapan ringkas diberikan Nazmi kepada papa dan mama. Dia mengucup tangan papa dan mama seraya beredar ke kereta milik abang Hafiz. " Kalau ada masa, datanglah ke mari lagi. " ujar mama dengan nada yang gembira. Aku hanya membalas senyuman yang diberikan Nazmi kepadaku. Kami melihat mereka beredar hilang dari pandangan seraya melambai tangan tanda selamat pergi.

Dalam keseronokan yang masih belum tawar sejak semalam, aku mengambil keputusan untuk membuat panggilan kepada Mei Ling dan Sunita tentang percutianku itu. Hanya merekalah tempat aku menceritakan pahit manis kehidupan yang aku alami. Setelah beberapa ketika, aku terdengar sahutan Mak Jah dari ruang makan memanggil untuk makan tengahhari.

*~*~*
Sebelah malam pula, aku duduk di ruang tamu sambil menyambung membaca novel yang dipinjam daripada Mei Ling sambil meneman Mak Jah dan Danial menonton televisyen. Secara sedar ataupun tidak, dalam seminggu lagi umat Islam seluruh dunia akan menyambut bulan Ramadhan, iaitu bulan yang penuh dengan keberkatan. Bulan inilah, bagi umat Islam, yang dimaksudkan dengan menahan lapar dan dahaga serta perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari. Aku mendengar sahaja Danial ditegur oleh Mak Jah kerana mengeluh akan tibanya bulan puasa. 

Cuti sekolah telahpun tamat, maka pada hari ini aku bersiap-siap untuk ke sekolah seperti sebelumnya. Aku bersalam dengan mama di rumah dan sebelum keluar dari kereta aku mengucup pula tangan papa. Aku menaiki tangga sekolah itu dengan harapan Mei Ling dan Sunita menungguku di pondok wakaf sekolah berhampiran.

Setelah tamat perhimpunan, kami berjalan ke arah kelas sambil ketawa kerana berkongsi cerita pada cuti yang lalu. Hilai tawa ku hanya dimatikan ketika mataku tertumpu pada seorang lelaki yang padaku tidak asing lagi. Entah mengapa aku kini berasa kekok pula untuk bertegur sapa dengannya. Tambahan pula, dia tidak menegurku dahulu seperti selalu sebaliknya asyik merenung ke luar tingkap. Entah apalah yang ditenungnya itu aku pun tidak pasti.

Pelajaran kemudiannya bermula apabila Puan Haliza masuk ke kelas.

*~*~*

Hari yang dinantikan telahpun tiba, dalam keheningan pagi subuh itu aku dikejutkan dengan bunyi penggera sebagai tanda untuk bangun bersahur. Aku turun ke tingkat bawah dan melihat Mak Jah sudah pun tercongok mencedok nasi untuk penghuni di rumah ini. Aku berasa simpati pula kepada Mak Jah yang sanggup melakukan kerja-kerja memasak ini seorang diri. Biarpun dia cuma seorang pembantu rumah namun dirinya yang semakin dimamah usia amat menyentuh jiwa. Biarlah hari ini sahaja dia melakukannya seorang diri. Aku akan cuba sedaya upaya membantunya di pagi yang lain, begitu juga mama. Setelah selesai bersahur, kami semua menunaikan solat Subuh secara berjemaah. 

Selang beberapa hari, aku mula bosan duduk terperap di rumah sahaja tanpa melakukan sesuatu yang produktif mahupun proaktif. 

"Lia mahu ikut mama pergi ke bazaar Ramadhan?" mama mengajukan soalan.

Ibarat peluang keemasan, aku mengangguk dan terus bersiap. Sudah agak lama aku tidak mengunjungi bazaar Ramadhan di sini. Selalunya, Mak Jah lah yang akan memasak juadah berbuka. 

Berjalan melewati setiap gerai yang menyediakan aneka juadah itu membuatkan aku terliur. Namun biasalah, ianya cuma lidah orang berpuasa, semua mahu dirasanya. Bak kata orang, lapar mata. Sedang asyik memerhati, aku terdengar mama berbual dengan seorang wanita yang suaranya seakanku kenal. Aku menoleh dan terlihat Aunty Ju bersama anak tunggalnya, Shahrul.

"Apa awak pandang-pandang?" Tanya Shahrul dengan nada seakan mengherdik. 

Aku hanya tertawa kecil melihat hidungnya yang merah. Tidak hairanlah dia tidak ada 'mood' untuk menegur sesiapa hari itu, rupanya dia sedang sakit. Aku cuba tidak menegur dia berlebih-lebihan kerana tidak mahu menganggu kesihatan dia. 

Keesokan harinya, aku yang masih bosan di rumah tidak tahu apa yang harus dilakukan untuk menghilangkan bosan. Setelah beberapa ketika, aku bercadang untuk membuat sesuatu bersama Mak Jah.

"Mak Jah, kalau kita buat puding caramel hari ini mahu tak?" tanyaku kepada Mak Jah.

"Makcik boleh saja bantu kamu, tapi makcik tak tahu caranya." Balas Mak Jah dalam nada yang sedikit hampa.

"Tidak mengapalah Mak Jah, Lia boleh ajarkan. Marilah." Kataku mencuba mengajaknya. Bahan-bahan yang diperlukan sudahpun mencukupi. Jadi, aku mula membuat pencuci mulut itu dengan teliti. Mak Jah membantuku dengan menyediakan pengukus di atas dapur. Selang beberapa minit akhirnya puding itu siap dikukus.

"Lepas ini kita masukkan dalam peti sejuk dahulu, tiba waktu berbuka nanti kita rasa ya?" Kataku kepada Mak Jah. Kami kemudiannya pergi ke ruang tamu untuk menunggu azan menandakan waktu berbuka.



*~*~*



No comments:

Post a Comment