Thursday 14 August 2014

*Chapter* 15 : Keputusan

*~*~*

"Nur Alia Nasuha binti Mohamad Salleh!"
Seru Puan Haliza memanggil seseorang. Aku bangun daripada tempat dudukku dan berjalan ke arahnya.

"Mengapa keputusan awak kian merosot sejak akhir-akhir ini?" tanyanya kepadaku. Aku hanya mendiamkan diri. Alangkah malunya aku kepada rakan-rakan yang lain kerana prestasi akademik aku menurun. Tambahan pula, aku tidak tahu apa yang inginku jawab kepada papa apabila pulang nanti. Aku duduk semula di tempatku dengan kadar segera setelah diarahkan berbuat demikian. Aku memandang ke arah Shahrul, namun hari ini dia langsung tidak mengendahkan aku. Nak dikatakan sakit, boleh pula dia berbual dengan orang lain. Aku berasa serba salah pula tentang kejadian hari itu, yang mungkin menyebabkan dia terasa hati denganku.

"Alia, awak free tak petang ini?" Tanya Shahrul kepadaku ketika di perhentian bas.

"Free sahaja, mengapa ya?" balasku kepadanya. Aku dapat merasakan bahawa sesuatu akan terjadi pada hari ini.

"Kalau kita jumpa di taman permainan Taman Makmur nanti boleh? Saya ada hal yang ingin dibincangkan." Sambungnya lagi.

"Pukul 3, Insyaallah." Balasku kemudian masuk ke dalam kereta milik mama. Shahrul pula pergi ke arah kenderaan milik Aunty Ju yang kebetulan tiba pada waktu yang sama.

Sesampainya aku ke rumah, aku terus menyalin pakaian dan turun ke tingkat bawah. Kulihat Mak Jah sedang sibuk menyiang ikan di dapur.

"Masak apa Mak Jah?" Tanyaku dengan niat untuk membuatnya melatah.

"Opocot! Ish Lia ni sengaja saja ya!" Marah Mak Jah kepadaku. Aku geli hati melihat gelagatnya.

"Malam ni Mak Jah nak masak yang special sikit, kari kepala ikan," sambung Mak Jah dengan nada yang gembira. Aku kemudiannya meminta izin mama untuk keluar sebentar, seperti yang telah dirancang tadi.

*~*~*

"Apa hubungan awak dengan Nazmi?" tanya dia kepadaku ringkas. Aku berasa janggal pula kerana soalannya seolah-olah sama dengan apa yang pernah ditanya oleh Nazmi dahulu. Aku mendiamkan diri lalu duduk di salah satu buaian di situ.

"Awak jawab boleh tak!?" Dia mula mendesak. Aku yang semakin tidak keruan cuba menyusun ayat supaya tidak tersalah kata kepadanya.

"Saya dengan Nazmi tu, cuma sepupu," balasku sepatah demi sepatah. Aku tidak berani untuk bertentang mata dengannya yang asyik memerhatikan aku.

"Oh, sepupu. Mesra sungguh awak dengan dia," katanya pula dengan nada memerli. Malah, ayat yang diungkapkan olehnya itu sama seperti apa yang pernah dikatakan oleh Nazmi dahulu.

"Awak rasa, saya ini apa pada awak?"

Pertanyaan Shahrul itu membuatkan aku terdiam tanpa bicara. Soalannya kali ini menjangkaui segala apa yang ada di dalam kotak fikiranku. Air mataku mula membasahi pipi kerana tidak dapat menjawab soalannya itu. Dia terus mendesak dan mendesak sehingga menyebabkan aku tidak dapat menahan lagi. Akhirnya,

"Kita ini cuma sahabat! Awak faham apa erti sahabat? Kita cuma itu, tidak lebih," jeritku kepadanya teresak-esak. Namun, segala yang dilafazkan oleh bibirku sebentar tadi, segalanya adalah satu penipuan. Ya, aku suka Shahrul. Sejak dia berpindah ke sini lagi, hatiku sudah mula terpaut kepadanya. Namun apakan daya, diri ini tidak berani melanggar apa yang telah diperintah oleh keluargaku.

"Bercinta di zaman persekolahan adalah sesuatu yang sia-sia dan tidak menjamin masa hadapan," kata-kata papa itu terlintas di fikiranku semula.

"Saya tak sangka, awak cuma anggap kita sahabat, selepas apa yang saya buat untuk awak," kata-katanya itu semakin lama semakin menjadi racun kepada diriku. Hatiku merasa sakit pula mendengar tuturan bicara dari mulutnya itu.

"Apa sebenarnya yang awak mahukan?! Mengapa awak lakukan semua itu untuk saya? Menumpangkan saya ke rumah, memberi buku nota awak kepada saya, segala tingkah laku awak yang pelik itu, kenapa?! " segala persoalan yang terbuku di mindaku akhirnya telahpun dilafazkan. Aku tidak sanggup lagi menanggung persoalan demi persoalan yang semakin menimbun di kepalaku.

"Ini semua kerana saya sukakan awak!"

Lantas aku mengangkat muka memandang ke arahnya yang sudah merah padam itu. Jadi, apa yang dikatakan oleh Sunita selama ini memang benar. Aku sangat tidak menyangka ayat seperti itu akan terpacul dari mulutnya. Kami berdua saling berpandangan sebelum aku mengalihkan perhatian. Tidak mungkin orang seperti dia, suka pada aku. Aku berlari ke arah motor lalu memecut meninggalkannya seorang diri. Aku berasa sungguh malu akan kenyataannya tadi. Malam itu, aku langsung tidak dapat melelapkan mata, memikirkan hari esok, bagaimanakah aku akan bersua muka dengannya.

"Kalau aku tidak melanggarnya ketika hari pertama persekolahan serta tidak sekelas dengannya, tentu perkara ini dapat dielakkan," rungutku sendirian. Aku akhirnya tertidur dengan sendiri.

*~*~*

Keesokan harinya, seperti biasa aku mempersiapkan diri menjalani hari-hari sebagai seorang pelajar sekolah menengah. Namun, hari ini tidak sama seperti hari sebelumnya. Sesuatu di dalam diriku telah hilang bersama peristiwa yang dianggap tragedi semalam.

Aku menjejakkan kaki ke SMK Taman Makmur dengan hati yang kosong. Masuk sahaja aku ke kelas, aku terus membuka buku nota, tanpa menghiraukan orang sekeliling, kerana sekarang ini aku cuma mahu fokus terhadap pelajaran. Lebih-lebih lagi kerana prestasiku kian merosot.

"Alia, awak sakit kah?" tegur Puan Haliza memerhatikan aku sedang muram. Aku menggelengkan kepala menyatakan tidak.

"Sebelum ke makmal sains nanti jumpa saya," Aku mengiyakan sahaja. Ramai yang bertanya tentang keadaanku, kecuali Shahrul. Sejak kejadian itu, aku dan dia tidak lagi berbual seperti selalu. Malahan, dia mula sering keluar dari kelas apabila guru yang mengajar tidak masuk ke kelas.

"Awak ada apa-apa masalah, Alia?" Tanya Puan Haliza. Aku hanya mendiamkan diri.

"Cuba jangan fikir terlalu banyak, fokuskan pada apa yang lebih penting. Cikgu tahu awak mungkin ada masalah dengan rakan sekelas, yang cikgu rasa cikgu tak perlu sebut." Tambahnya lagi sambil memberikan senyuman. Aku hanya mengangguk sebelum meminta diri untuk pergi ke makmal sains.

Malam itu, aku duduk di sofa menonton televisyen. Papa yang duduk di sofa bertentangan memulakan bicara,

"How do you feel about your result, Alia? Papa dah tengok SAPS, dan result awak merosot. Why is that possible?" tanya papa kepadaku.

Aku sudah mula bingung kerana tidak tahu apa untuk dijawab. Mama hanya memerhatikan sahaja dari bahagian ruang makan.

"Sejak kamu berkawan dengan budak Shahrul itu, keputusan kamu jadi macam ini. Papa tidak mahu lelaki itu merosakkan masa depan anak papa!" sambung papa lagi dengan nada yang agak tegas. Aku mula bersuara,

"Tetapi papa tidak ada hak untuk menentukan siapa kawan Nasuha!"

"Enough of this!" Jerkah papa kepadaku. Aku hanya menunduk, tidak sanggup melihat wajahnya.

"Papa tidak pernah melarang Alia berkawan dengan sesiapa sebelum ini! Meskipun dia anak kepada rakan sejawat papa, which is Encik Rahman, namun papa rasa dia bukan orang yang sesuai untuk kamu buat masa sekarang!" kata-kata papa itu sudah cukup membuatkan aku terdiam tanpa jawapan. Aku terus naik ke bilik dengan hati yang pedih. Malam itu aku tidur dengan air mata membasahi bantal milikku.

*~*~*

No comments:

Post a Comment