Thursday 14 August 2014

*Chapter* 5 : Cemburu

*~*~*

Masuk sahaja ke dalam kelas , mataku liar mencari di mana pelajar yang bernama Shahrul itu berada . Aku sudah bersedia untuk mengajukan beberapa soalan yang telah lama ku pendamkan selama ini . Namun ,setelah ternampak dirinya sedang khusyuk mentelaah buku , aku membatalkan hasratku . Tak beberapa lama kemudian , guru matematik yang dijadualkan mengajar masuk ke dalam kelas . Dia ingin melihat hasil kerja murid-muridnya di dalam modul matematiknya itu . Aduhai! Aku tertinggal modulku di dalam kereta milik papa dalam perjalanan ke sekolah tadi . 

"Mana modul awak?" tanya guru itu kepadaku .

Aku hanya berdiri selepas diarahkan untuk berbuat sedemikian . Tanganku diangkat ke atas sambil telapak tanganku menghadap ke atas . Tiba-tiba , satu pukulan yang kuat hinggap di telapak tanganku . Aku mengerutkan muka tanda kesakitan . Aku kemudiannya dibenarkan duduk sambil mengibas-ngibas tanganku yang baru dirotan tadi . Suasana kelas menjadi senyap sunyi seketika . Ramai yang memerhatikan aku kerana ini baru pertama kali aku dirotan . Aku sudah seperti hendak menangis ketika itu akibat terlalu malu . Dalam masa yang sama , Shahrul tidak menunjukkan sebarang reaksi terhadapku . Selalunya , dia lah yang pertama akan menghadap wajahku setiap pagi . Dalam fikiranku , mungkin dia sudah bosan akan perangaiku yang terlalu manja . 

"Shahrul! Teman I pergi kantin boleh tak? Kawan-kawan I tak datang lah hari ni." Suara gedik itu muncul sekali lagi di depan kelas ku ketika loceng rehat dibunyikan . 

"Boleh je . I pun bosan duduk dalam kelas ni menghadap muka yang sama sahaja." balas Shahrul kepada Suraya . Hatiku tersentap selepas mendengar kata-kata yang terpacul dari mulutnya itu . Siapa lagi yang dia maksudkan kalau bukan aku ? Ya , dapat kurasakan bahawa orang yang dimaksudkannya itu sememangnya aku , bukan orang lain . . 

"Menangis ke kak?" suara itu memerli aku sambil ketawa dengan geli hatinya . Hati ini sudah tidak dapat menanggung kesakitan lagi , aku mengambil keputusan untuk pergi ke taman sains di belakang bangunan kelasku itu untuk menenangkan jiwa .  Aku lafazkan ayat penenang jiwa seperti yang diajar oleh mama dan papa jika jiwa berasa tidak tenang atau mempunyai masalah . 

Setelah beberapa ketika , aku pulang ke kelas dengan wajah tenang yang dibuat-buat . Aku cuba untuk tidak memikirkan hal yang berlaku sebentar tadi . Aku tidak mahu perkara itu menjejaskan prestasi akademik aku . Lagipun aku sudah nekad untuk belajar bersungguh-sungguh . Kemudian , guru matapelajaran Ekonomi masuk ke kelas untuk mengajar . Alangkah malang nasibku hari ini kerana guru itu mahu menyemak nota-nota sebelum ini sedangkan aku tidak melengkapkannya . Aku tidak mahu untuk dirotan buat kali keduanya . Papa pasti marah pada aku jika dia mengetahui hal ini . 

"Alia , nah." kata Mei Ling di sebelahku lalu memberikan aku sebuah buku nota . Kemudian , aku mendengar satu libasan kuat ke atas telapak tangan tuan empunya buku nota ini . Mengapa dia memberikan buku nota ini kepadaku? Apa motif dia sebenarnya? Aku semakin pelik melihat perangai Shahrul yang dari semalam menunjukkan reaksi yang ganjil .

*~*~*

Setelah tamat sesi persekolahan , seperti biasa , aku akan menunggu mama untuk menjemputku pulang dari sekolah di perhentian bas , sama seperti Shahrul . Hari ini dia langsung tidak menegurku , jadi aku beranggapan mungkin dengan menegurnya terlebih dahulu dapat menghilangkan rasa janggal ini . 

"Tangan... awak dah okay ke?" tanyaku kepada Shahrul dalam nada yang agak tergagap-gagap.

"Biasa saja , tak sakit pun." jawabnya dalam nada endah tak endah . Dia langsung tidak memandangku .

"Tadi waktu Ekonomi , kenapa awak beri buku nota awak pada saya?" Tanyaku yang berasa agak tidak puas hati dengan sikapnya kini . Dia tidak memberikan apa-apa jawapan langsung sebaliknya berpaling ke arah lain .

"Okay fine! Kalau awak dah tak mahu berkawan dengan saya , beritahu saja! Tak perlu buat saya cemburu!" Kata-kata yang tidak sepatutnya kusebut akhirnya terkeluar jua . Memang sebelum ini aku mempunyai perasaan terhadap Shahrul tetapi memikirkan masa depan , aku diamkan saja . Shahrul yang sebelum ini tidak melayanku dengan tiba-tiba berpaling ke arahku . Untunglah mama tiba pada masa yang tepat , lantas aku masuk ke dalam kereta dan terus pulang ke rumah . Hanya Tuhan sahaja yang tahu bertapa malunya aku ketika itu .

Pulang sahaja ke rumah , aku terus masuk ke bilik . Aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan untuk memulihkan keadaan seperti sediakala . Mak Jah yang dari tadi asyik memanggil-manggil namaku dari bawah membuatkan aku lupa akan peristiwa sebentar tadi . Aku bingkas bangun dan turun ke tingkat bawah untuk mendapatkan Mak Jah . Aku menghidu sesuatu yang amat enak apabila sampai ke bawah . Apabila aku jenguk ke dapur , aku melihat Mak Jah sedang membakar biskut yang pernah aku idamkan sebelum ini .

"Mari sini Lia , rasa sikit Mak Jah buat ." hulur Mak Jah sekeping biskut yang telah siap dibakarnya kepadaku . Aku berasa amat terharu kerana Mak Jah sanggup membuatnya untuk aku . Aku yang sedang sibuk memuji masakan Mak Jah tiba-tiba dipanggil oleh mama dari hadapan . Aku meninggalkan Mak Jah sambil membawa sepinggan biskut yang dibakar itu . Mama kelihatan gembira sambil memandang skrin telefon bimbitnya , seperti sedang membaca mesej . Aku duduk di sofa bertentangan lalu meletakkan pinggan itu di atas meja kecil di tengah-tengah .

"Malam ni kita makan di luar nak? Kita dinner dengan keluarga Aunty Ju?" mama bertanya kepadaku . Aku yang sedang menikmati biskut airtangan Mak Jah ini sedikit terkejut dengan pelawaan mama sebentar tadi .

"Shahrul ada sekali ke?" tanyaku spontan . Jikalau boleh aku tidak mahu berjumpa dengannya buat masa ini . Perasaan malu aku padanya masih tebal sejak tadi . Namun memikirkan kesihatan Mak Jah yang sentiasa menjadi tukang masak di rumah ini , aku beralah . Biarlah apa yang terjadi sekalipun asalkan orang yang aku sayangi tidak terabai .


*~*~*

Aku yang dari tadi sudah bersiap sedang menunggu mama pula untuk memakai alat soleknya . Memang sudah menjadi kebiasaan untuk menunggu mama bersiap kerana aku tidak suka memakai alat solek terlalu banyak . Sekadar bedak asas dan pelembab bibir sudah mencukupi . Danial tidak mahu mengikut , jadi aku pesan kepadanya agar tidak membebankan Mak Jah yang sudah seharian memasak di dapur .

Mama akhirnya turun dengan memakai baju kurung berwarna hijau terang manakala aku hanya memakai baju-T berlengan panjang dan skirt labuh . Aku lebih suka memakai tudung bawal kosong berbanding mama yang memakai tudung gayaan Fareeda . Walaupun nampak cantik tetapi aku tidak menggemarinya . Papa yang dari tadi sedang menunggu membunyikan hon kereta menyebabkan Mak Jah yang berada di dapur melatah . Aku hanya ketawa melihat gelagatnya .

Dalam perjalanan ke tempat yang dimaksudkan , aku teringat akan sikap Shahrul yang secara tiba-tiba berubah selepas aku berbual melalui telefon bimbit itu . Aku mula terfikir , mungkin juga apa yang dikatakan Mei Ling itu benar , tetapi mengapa dia hendak cemburu padaku? Adakah dia mempunyai perasaan juga terhadapku? Oh itu tidak mungkin benar , orang setampan dia mungkin sudah mempunyai kekasih . Kalau tak di sekolah sini pun , mungkin juga budak luar . Aku juga terfikir tentang apa yang aku katakan padanya siang tadi . Mungkin aku terlalu bodoh ketika itu untuk berfikir dengan baik .

"Termenung apa tu Lia?" tegur papa yang dari tadi asyik memerhatikan aku melalui cermin pandang belakang  . Aku yang baru tersedar dari lamunan memandang papa di hadapan .

"Tak ada apa-apa lah papa," jawabku hanya untuk menutup perkara yang sebenarnya . Aku tidak mahu papa untuk mengetahui perkara ini kerana aku pasti papa tidak akan menyukainya . Papa tidak seperti mama , mungkin kerana perbezaan itu membuatkan mereka lebih erat . Aku suka melihat mereka bermesra ketika bersama , seperti pasangan baru bercinta . Hubungan sebeginilah yang aku impikan jika aku sudah berumahtangga nanti , namun aku belum cukup matang untuk itu .

"Mama sudah kenal lama kah Aunty Ju ini? Mesra sungguh dia dengan mama hingga ajak datang ke rumah?" tanyaku kerana sudah bosan duduk di belakang .

"Suami Aunty Ju adalah kenalan papa , mereka ada menjemput kita untuk makan malam bersama . Sebagai tetamu yang diundang kita kenalah hadir untuk menunjukkan rasa hormat." balas mama dengan jelasnya .

"Kita juga boleh mengenali antara satu sama lain dengan lebih mendalam lagi." tambah mama lagi . Aku hanya mengangguk tanda faham . 


*~*~*

No comments:

Post a Comment