Thursday 14 August 2014

*Chapter* 3 : Kenalan Baru

*~*~*

Seperti biasa aku hadir ke sekolah , dengan niat untuk menumpukan perhatian terhadap pelajaran demi masa depan . Sedang asyik membelek-belek buku Sejarah yang menjadi subjek kegemaranku , tiba-tiba kedengaran satu suara dari arah hadapan . 

"Awak tidak berasa bosankah membaca buku sekolah ini tiap-tiap hari?" tanya Shahrul yang memulakan bicara . 

"Tak adalah , buku ini ialah subjek kegemaran saya , lagipun buku-buku inilah yang akan membantu kita dalam pelajaran nanti," balasku sambil menyelak buku nota Sejarah itu. Kami berdua saling berbalas-balas kata seperti dua insan yang sudah lama berkenalan. Aku agak hairan kerana dia tidak seperti murid baharu yang lain kerana kebanyakan murid yang baru berpindah ke sekolah lain selalunya akan merasa segan-segan untuk memulakan perbualan . Lain pula sifatnya dengan Shahrul yang seperti ingin mencari peluang untuk bersembang .

"Oh ya, awak tak beritahu lagi nama awak . Siapa nama awak?". Aku agak terkejut kerana aku menyangka dia sudah mengetahui namaku ketika Sunita menyebutnya sebelum ini . 

"Nur Alia Nasuha, bukankah awak sudah mengetahuinya?" balasku dengan penuh kehairanan dan tanda tanya . Dia sepatutnya sudah mengetahuinya apabila Sunita menyebut namaku di hadapannya sebelum ini . 

"Sebenarnya saya bergurau sahaja , saya sudah pun mengetahuinya," balasnya sambil ketawa . Aku tersenyum sinis kerana memikirkan dia benar-benar tidak tahu . Kami menghentikan perbualan kerana guru yang mengajar mata pelajaran seterusnya sudah masuk ke dalam kelas .

Sewaktu pulang , aku lihat mama tiada di tempat biasa . Aku sudah mula risau kalau-kalau mama terlupa lagi untuk mengambil aku . Danial sudah pulang terlebih dahulu menaiki motor bersama rakan-rakannya manakala Mei Ling dan Sunita pula kedua-duanya sudah pulang bersama ibubapa masing-masing . Aku tidak berani untuk melalui jalan pintas yang selalu digunakan seorang diri kerana jalan itu sunyi serta tidak mustahil untuk apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku . Apapun aku perlu mencari jalan untuk pulang dengan segera .

"Dah lama tunggu? Apakata awak tumpang kereta saya sahaja?" ajak Shahrul seperti mengetahui akan keadaanku sekarang .

"Buat menyusahkan awak sahajalah Shahrul. Tak mengapa, lambat atau cepat mama saya pasti datang,"  jawabku sambil tersenyum . "Tak susahlah, tak mengapa kali ni sahaja." balasnya . Reaksinya seakan benar-benar mahu aku untuk menumpangnya . Aku mengambil peluang ini untuk pulang ke rumah secepat yang mungkin kerana bak kata pepatah 'peluang hanya datang sekali'. Tidak lama selepas itu , sebuah kereta BMW berwarna hitam berhenti di hadapan kami berdua . "Rupa-rupanya Shahrul ini anak orang kaya , berkemungkinan besar dia menetap di kawasan Taman Makmur , kawasan perumahan dimana Suraya iaitu budak yang memusuhiku itu tinggal." kataku di dalam hati .

"Silalah masuk jangan segan segan," ucap seorang wanita seusia mama , iaitu ibu kepada Shahrul . Wanita itu melemparkan senyuman yang manis kepadaku .  Aku membalas senyumannya lalu masuk ke dalam kenderaannya dan memberikan alamat kepada Puan Julia yang lebih mesra dipanggil Aunty Ju .


*~*~*

"Amboi Shahrul , baru beberapa hari sekolah disini sudah ada kawan perempuan ya," kata-kata Aunty Ju itu walaupun bersulam nada gurauan sudah cukup membuatkan aku menjadi segan yang teramat sangat . Shahrul kelihatan selamba sahaja walaupun ibunya berkata sedemikian . Tanpa berkata apa-apa aku duduk mendiamkan diri di tempat duduk belakang . Setibanya di hadapan rumahku yang berwarna hijau lumut , aku bersalaman dengan Aunty Ju sambil diperhatikan oleh Shahrul dan mama . 

"Terima kasih kerana sanggup menghantarkan anak saya sampai ke rumah, Puan Julia. Saya minta maaf sangat-sangat kerana sudah menyusahkan Puan. Bukan apa, saya tidak sempat memberitahu Alia bahawa saya kurang sihat hari ini." ucap mama kepada Aunty Ju . 

"Tak mengapalah Puan , bukan selalu pun , sekali-sekala." balas Aunty Ju pula dengan nada mesra . Mama yang sememangnya mudah mesra itu mengajak mereka berdua masuk dahulu ke dalam rumah untuk minum petang . Hanya Tuhan yang tahu betapa leganya hatiku apabila mereka menolak tawaran itu . Jika tidak , pasti aku yang akan menjadi tukang hidang. Tambahan pula tetamu itu Shahrul dan ibunya , aku akan pasti menguncikan diri di dalam bilik. Tak lama selepas itu , mereka pun beredar meninggalkan kawasan rumahku . Aku terus pergi ke bilik seperti biasa meninggalkan mama di taman kecil di laman rumah kami .

Ketika sedang sibuk membantu Mak Jah di dapur , aku sempat melihat buku-buku resipi yang tersusun rapi di atas rak di penjuru dapur itu . 

"Sedapnya tengok makanan dalam buku ini," kataku sendirian . 

"Jikalau sudah merasa sedap , Alia belajarlah membuatnya pula. Nanti esok lusa senang. Kalau kita hendak makan , kita boleh membuatnya sendiri." kata Mak Jah yang memasang telinga tentang apa yang aku katakan sebentar tadi sambil tersenyum . Aku membalas senyumannya lalu bangun membawa pinggan dan mangkuk ke meja makan .

"Siapa nama budak tadi itu , Alia?" tanya mama membuka bicara ketika menjamu selera di meja makan .

"Namanya Shahrul , dia seorang murid baru di kelas Alia," balasku kepada mama. Papa kemudiannya memerhatikan sahaja gerak-geriku selepas mendengar jawapanku yang jelas-jelas menyatakan nama tersebut kepunyaan budak lelaki . 

"Shahrul?" Papa menyebut namanya. Aku hanya mengangguk untuk mengiyakannya. Selain seorang yang menepati masa , Papa juga seorang yang kadangkala amat tegas . Oleh kerana aku seorang sahaja anak perempuan kepunyaannya , dia tidak mahu aku untuk lalai dalam pelajaran dan bercinta pada usia yang muda . Abang Saiful dan Hafiz kedua-duanya cerdik pandai dan mendapat straight A ketika berada di zaman persekolahan. Papa juga mahukan aku sama seperti mereka .

"Mama tidak kisah kamu hendak berkawan dengan sesiapapun asalkan kamu pandai membezakan baik dan buruknya,"  kata mama yang bersifat lebih terbuka berbanding papa . Setelah selesai makan malam, aku meninggalkan meja makan dan masuk ke bilik untuk menyiapkan kerja rumah yang telah diberikan oleh guru di sekolah .

Ketika sedang membuat kerja rumah itu , tiba-tiba telefon bimbitku bergetar . Aku sungguh gembira kerana mesej yang ku terima sebentar tadi ialah dari abang Saiful yang akan berkunjung ke rumah kami esok hari . Bukan selalu abang Saiful dapat meluangkan masa bersama kami semua  , dalam setahun mungkin hanya beberapa kali sahaja , itupun kalau dia tidak sibuk dengan urusan lain atau bersama isterinya. 


*~*~*

"Assalamualaikum!" laung seseorang dari luar rumah . Setelah ku amati , suara itu dilaungkan oleh abang Saiful , abang sulungku .

"Waalaikummussalam . Saiful rupanya , kenapa tidak cakap hendak datang. Ros mana?" balas mama sambil tersenyum melihat kelibat anak sulungnya itu berada di hadapannya . Ros ialah isteri kepada abang Saiful, atau nama panjangnya Rosmawati. Mereka baru sahaja berkahwin beberapa bulan lepas.

"Along sudah memberitahu Alia semalam, dia tak beritahu mama kah? Ros sibuk sikit dengan kerjanya di luar." kata abang kepada mama . Aku terus bersalam dengan abang Saiful sebelum cepat-cepat beredar ke dapur kerana aku terlupa untuk beritahu mama . Lagipun aku boleh membantu Mak Jah menyiapkan hidangan tengahari .

Danial yang dari tadi asyik bermain dengan permainan video pada telefon bimbitnya di ruang tamu tidak mengendahkan kehadiran abang Saiful sebaliknya semakin fokus terhadap permainan videonya itu . 

"Danial , sudahlah itu. Berhenti sekejap , mari makan tengahari , abang Saiful ada sekali," tegurku sambil memandang tangannya yang ligat menekan butang-butang 'controller' yang mengawal permainan itu.

"Nanti sahajalah kak , Danial sedang sibuk ini," balasnya dengan nada yang seperti endah tak endah . 

"Nanti tunggu apa , tutup sahaja lah," aku mula memaksa . 

"Kakak ini menyibuk lah!" balasnya dengan nada marah . Sifatnya yang dari dahulu susah untuk menerima teguran itu telah membuatkan aku putus asa .

"Sukahati kau lah!" balasku lalu terus beredar menuju ke ruang makan meninggalkannya .

"Kenapa gaduh-gaduh ini?" tanya mama kepadaku . Aku memasamkan muka tanpa menjawab soalan mama  . Mama yang seakan faham keadaanku hanya tersenyum sambil membelai lembut rambut ikal milikku lalu menyuruhku mencedokkan nasi untuk kami . Selepas makan tengahari aku berhajat untuk keluar sebentar ke rumah Mei Ling bersama Sunita untuk mengajaknya keluar beriadah di taman berdekatan . Kami bertiga bagai isi dengan kuku , sentiasa ingin bersama walau dimana jua berada . Aku lebih selesa berkongsi cerita dengan mereka berbanding keluarga sendiri kerana sebagai rakan yang seusia denganku , tentu mereka lebih faham akan keinginan dan permasalahan yang timbul di dalam hidupku .


*~*~*

No comments:

Post a Comment