Thursday 14 August 2014

*Chapter* 13 : Kaum Kerabatku

*~*~*

Setelah beberapa jam perjalanan, akhirnya kami tiba di Kampung Panglima, iaitu kampung sebelah mama. Di sana kami melihat anak-anak kecil berlari berkejaran kesana kemari, riang gembira ingin menyambut Hari Raya Aidilfitri. Aku hanya tersenyum melihat gelagat mereka. Papa akhirnya memberhentikan kereta di sebuah rumah separuh batu dan separuh lagi diperbuat daripada kayu. Muncul seorang wanita yang telah mencapai usia senja di pintu rumah tersebut, manakala terdapat seorang lelaki tua duduk membaca suratkhabar di luar rumah.

" Atok! Nenek! " laung Danial kepada mereka berdua. Kami mengambil giliran bersalam dan orang terakhir adalah aku. Aku menghulurkan buah tangan yang dibeli kepadanya.

"Dah besar dah cucu nenek." Kata nenek kepadaku sambil mengusap lembut kepalaku.
Kami semua masuk ke dalam rumah membawa beg pakaian masing masing.

Malam itu, selepas makan malam, semua berkumpul di depan televisyen menunggu keputusan hari raya sambil menanti ketibaan abang Saiful serta kak Ros, isterinya. Tak sampai beberapa minit, sebuah kereta meluncur masuk ke kawasan rumah. Rupanya ia kereta milik abang Saiful. Nenek yang berada berdekatan pintu menyambut kedatangan mereka. Kami seterusnya menghulurkan salam seorang demi seorang. Ku lihat perut kak Ros sudah mula memboyot. Nampaknya kak Ros hamil juga walaupun dalam kesibukan bekerja.

"Kak Ros, ni dah berapa bulan? " aku mengajukan soalan kepada kak Ros yang duduk di sebelahku sambil tanganku menunjuk ke arah perutnya.

"Baru 4 bulan Lia," balas kak Ros dengan nada yang lembut serta sekuntum senyuman. Kami berdua saling berbalas kata sehinggalah kedengaran suara takbir di televisyen. Ini menandakan bahawa esok adalah Hari Raya Aidilfitri. Kesemua ahli keluargaku tidak sabar untuk menanti hari esok, begitu juga aku. Walaupun Perperiksaan Percubaan SPM hampir tiba, namun aku akan cuba untuk memanfaatkan Aidilfitri kali ini.

*~*~*

Setelah sebulan berpuasa, akhirnya Syawal menjelma. Semua ahli keluargaku bangun pada awal pagi untuk mempersiapkan diri untuk menyambut hari raya. Kesemua ahli keluargaku pergi menunaikan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri kecuali aku, kak Ros dan nenek. Kami yang tinggal di rumah menyibukkan diri menghidang makanan. Antaranya ialah nasi impit, ketupat dan lemang. Setelah selesai menunaikan solat, semua ahli keluargaku berkumpul di ruang tamu. Kini tibalah sesi bermaaf-maafan antara ahli keluarga.

"Selamat hari raya papa, mama. Maafkan kakak kalau kakak ada mengguris atau terkasar bahasa pada papa dan mama." kataku kepada kedua ibubapaku seraya mengucup dan memeluk mereka berdua. Mukaku merah padam akibat tidak dapat menahan air mata. Aku juga bersalam bersama abang Saiful, kak Ros, atok serta nenek. Setelah selesai, kami semua berkumpul di ruang makan untuk menjamu selera di pagi raya ini.

"Assalamualaikum! " laung seorang lelaki dari luar rumah. Kami menjawab salam itu kemudian papa menjenguk ke arah luar rumah.

"Eh Kamal, masuklah!" kata papa kepada pakcikku, juga ayah kepada Nazmi. Bersama beliau ialah Puan Siti, isterinya, Nazmi serta abang Hafiz. Walaupun Nazmi itu seusia abang keduaku, namun aku berasa agak kekok untuk menggelarnya sebagai abang.

"Terima kasihlah sebab membawa sekali Hafiz bersama kamu, buat susah-susah sahaja. Hari itu aku sudah call dia, tapi banyak assignment pula katanya." Sambung papa kepadanya.

"Tak mengapalah Salleh, sudah kebetulan dia bersama Nazmi ketika aku ingin menjemputnya di kolej. Lagipun, katanya dia sempat menyiapkan tugasan itu pada akhir-akhir waktu. Sekali sekala tak salah bukan begitu? " balas pakcik kepada papa sambil ketawa.

Suasana hari raya tahun ini kelihatan meriah dengan kehadiran sanak saudara yang lain, jiran tetangga serta kaum kerabat yang jarang berjumpa. Sungguhpun begitu, aku cuba untuk tidak terlalu lalai sehigga membuatkan aku lupa tentang akademik.

Selepas siap menjamu tetamu yang hadir, kami sekeluarga berkunjung pula ke rumah jiran tetangga yang terdekat. Walaupun aku tidak beberapa mengenali mereka, namun kami lekas mesra. Untuk orang seusiaku, semakin sukar untuk menerima duit raya berbanding dahulu. Bak kata mama, 'semakin besar orang, semakin kecil duit'. Ketika hendak bertolak daripada salah satu rumah di kampung ini, aku mendapat sampul raya daripada tuan rumah ketika bersalaman dengannya.

"Untunglah masih dapat duit raya." Kata-kata memerli aku itu keluar daripada mulut Nazmi.

"Haha, kau jealous lah tu." Kataku membalas sambil ketawa kepadanya. Dia hanya tersenyum sinis memandangku. Sedang asyik berbual, aku kemudiannya bertanya kepada Nazmi atas soalan yang diajukan kepadaku ketika bercuti dahulu,

"Sebenarnya mengapa kau tanya aku tentang Shahrul pada hari itu?" Tanyaku kepadanya.

"Tidak ada apa pun, aku cuma ingin tahu. Aku lihat kau dengan dia mesra, itu sahaja." Kata Nazmi. Aku musykil dengannya yang seperti menyembunyikan sesuatu.

*~*~*

Setelah hampir seminggu berada di kampung, akhirnya papa ingin pulang ke ibu kota. Kami sekeluarga bersalaman dengan datuk dan nenek. Sebagai seorang cucu kepadanya, datuk dan nenek masih lagi memberi duit raya kepadaku kerana menganggap aku masih lagi seorang budak kecil. Kami melambai kepada mereka tatkala beredar menyusuri jalan keluar dari kampung itu.

"Lia dah ready untuk trial?" Secara tiba-tiba papa bertanya kepadaku.

"Belum lagi papa, Lia masih cuba untuk mengulangkaji pelajaran." balasku spontan.

"You better be ready, trial kamu dah dekat," kata papa mengingatiku. Dari gaya percakapannya ternyata dia mahukan yang terbaik dari aku, begitu juga aku yang tidak mahu menghampakan mereka. Sebelum sampai ke rumah, aku bersalaman dengan abang Hafiz ketika papa menghantarnya pulang ke Universiti Malaya dimana dia menuntut pelajaran.

Setibanya di rumah, aku terlihat akan Mak Jah yang sudahpun berada di rumah.

"Awal Mak Jah pulang," kataku bertanya. Mak Jah hanya tersenyum. Kami semua masuk ke rumah mengangkat barangan masing-masing serta dibantu oleh Mak Jah. Sesungguhnya minggu ini adalah minggu yang memenatkan. Malam itu aku tidur awal supaya dapat bangun awal pada keesokan harinya.

*~*~*

No comments:

Post a Comment