Thursday 14 August 2014

*Chapter* 19 : Alia

*~*~*

"SPM sudah tamat!"

Kedengaran laungan suara beberapa murid lelaki di sekolah apabila tamatnya perperiksaan itu. Ada diantara mereka yang berlari pulang dan ada juga yang melonjak kegembiraan. Aku hanya memerhatikan gelagat mereka yang menyebabkan sekolah menjadi riuh rendah sebentar. Aku turun ke perhentian bas menuju ke arah kenderaan mama yang sudah terpacak di situ.

====================

"Sunita, hari ini hari lahir Alia kan?"

"Oh, iyalah Mei Ling! Mengapa kita tidak sedar,"

"Saya bercadang untuk membuat parti kejutan untuknya,"

"Kalau begitu, kita haruslah meminta izin mama dan papanya,"

"Baiklah, awak kumpulkan seberapa ramai murid yang boleh hadir ke parti itu manakala saya akan uruskan persiapan itu."

"Baiklah Mei Ling! Saya akan uruskan."

====================

"Hello, adakah ini Puan Maimun? Mama kepada Alia? Saya Mei Ling, rakannya."

"Ya, saya Puan Maimun. Oh Mei Ling, ada apa?"

"Hari ini hari lahir Alia, saya bercadang untuk membuat parti kejutan di rumah milik aunty. Bolehkah begitu?"

"Aduhai Mei Ling, aunty juga terlupa hari ini adalah hari lahir Alia. Kalau begitu, aunty akan bawa Alia ke bandar untuk memberi ruang kepada kamu dan beritahu uncle tentang ini ya? Jikalau ada apa-apa masalah, beritahu sahaja Mak Jah iaitu pembantu rumah kami,"

"Baiklah aunty, terima kasih kerana memberi peluang kepada kami,"

"Sama-sama Mei Ling,"

====================

*~*~*

"Alia, mama tahu kamu tentu tertekan apabila menjawab soalan-soalan perperiksaan itu. Apa kata jika kita pergi ke bandar, menonton wayang untuk menghilangkan tekanan kamu itu?" Ajak mama kepadaku. Aku yang pantang diajak kemana-mana sahaja pun, pasti tidak akan menolak. Cumanya, aku berasa sedih sedikit kerana tiada sesiapapun di rumah ini yang ingat tentang hari lahirku, begitu juga mama.

Aku kemudiannya pergi ke bilik untuk menyalin pakaian. Seketika kemudian, aku turun ke tingkat bawah dengan kemeja putih berlengan panjang serta skirt jeans. Aku mengenakan tudung hitam serta kasut berpotongan wedges kerana ianya menampakkan aku seperti tinggi sedikit. Kami kemudiannya meluncur menyusuri jalan keluar menuju ke bandar.

====================

"Mei Ling, saya sudah mengajak beberapa orang dan ramai diantara mereka boleh hadir pada hari ini! Antara yang diundang ialah Suraya dan Wei Hong."

"Wah, baguslah begitu. Parti hari ini pasti akan berlangsung dengan meriah! Bagaimana pula dengan Shahrul?"

"Itu, saya tidak pasti lah Mei Ling. Alia sedang mempunyai masalah dengannya jadi saya tidak pasti jika saya menjemputnya sebagai tetamu adalah tindakan yang betul ataupun salah,"

"Oh begitu rupanya. Tak mengapalah kalau begitu, mari kita persiapkan apa yang patut untuk malam ini sambil menunggu ketibaan rakan-rakan yang lain."

====================

"Assalamualaikum, abahnya,"

"Waalaikummussalam, maknya. Ada apa awak call saya di office ini?"

"Hari ini adalah hari lahir Alia, rakan-rakannya bercadang untuk membuat parti kejutan untuknya di rumah kita. Jadi, saya call abang supaya pulang awal sedikit hari ini,"

"Aduhai, bagaimana boleh saya lupa. Kalau begitu ceritanya, baiklah saya akan pulang awal hari ini. Sekarang awak berada di mana?"

"Saya dan Alia berada di kompleks beli-belah di bandar untuk menonton wayang. Kebetulan Alia ingin ke tandas, jadi saya ambil peluang ini untuk call awak,"

"Baguslah kalau begitu, lengahkan masanya sehingga pukul 6 petang ya. Saya akan cuba untuk pulang dengan segera, Assalamualaikum. "

"Baiklah abahnya, Waalaikummussalam."

====================

Habis sahaja menonton wayang, aku dan mama pergi ke tempat meletak kereta menuju ke arah sebuah kereta berwarna putih. Aku terus masuk ke dalam kenderaan tersebut dan menghela nafas sepuas-puasnya. Kemudian masuk pula seorang wanita pertengahan umur duduk di tempat pemandu.

"Alangkah seronoknya hari ini! Terima kasih mama! Tetapi, mama tahu tak hari ini hari apa?" Ujarku dalam keadaan gembira, kemudiannya bertanyakan soalan dalam nada yang normal.

"Sama-sama Alia, untuk kebaikan kamu juga. Hari apa hari ini? Bukankah hari ini hari Khamis?" balas mama yang cuba berceloteh.

"Tidak mengapa lah mama," balasku mengalah. Mama kemudiannya keluar dari kawasan letak kereta dan menyusur jalan pulang ke rumah.

*~*~*

"Mama, mengapa rumah kita gelap sahaja? Di mana Mak Jah, Danial semua? Hello?"

"Happy Birthday Alia!"

Alangkah terkejutnya aku mendengar ucapan itu dari rakan-rakan dan saudara-mara ketika lampu dibuka. Aku sangat tidak menyangka bahawa masih ramai lagi yang ingat tentang hari lahirku, sehinggakan mereka sanggup membuat parti kejutan untukku. Ramai orang di situ yang aku kenali antaranya ialah, Wei Hong, Nazmi, abang Hafiz, abang Saiful dan kak Ros serta lain-lain lagi. Terdapat banner bergantungan di dinding rumah dan belon-belon beterbangan serta riben yang diikat padanya. Aku mula menitiskan airmata kerana terlalu gembira. Oleh kerana Mei Ling dan Sunita yang menjadi dalang pesta ini, maka,

"Dengan ini, marilah kita mulakan upacara memotong kek!" sebiji kek harijadi dibawa oleh Wei Hong ke arahku beserta beberapa batang lilin yang telah dinyalakan. Mereka semua menyanyikan lagu 'Selamat Hari Lahir' sehingga tamat sebelum aku meniup lilin itu. Terdengar bunyi tepukan yang gemuruh selepas aku berjaya meniup kesemua lilin itu.

"Jemputlah makan ya anak-anak," jemput mama kepada rakan-rakanku. Mereka kemudiannya menghulur hadiah yang dibawa oleh masing-masing dan dihulurkan kepadaku sebelum menjamu selera. Setelah selesai, aku mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sudi hadir. Ketika terlihat mama dan papa di tangga, aku pergi ke arah mereka lalu memeluk erat. Begitu juga kepada Mak Jah yang berada di samping mereka. 

Sukar untuk digambarkan perasaanku yang bercampuran ketika itu. Sedang asyik menjamu selera, aku terasa seperti seseorang telah mencuitku dari belakang.

"Selamat Hari Jadi, Alia. Ini saya berikan hadiah untuk awak, sebagai tanda berdamai dan permulaan persahabatan yang baru," ucap Suraya kepadaku. Aku mengucapkan terima kasih kepadanya kerana hadir ke majlis hari lahirku laku memeluknya.

"Oh, saya ada satu kejutan untuk awak," sambungnya lagi. Dia kemudiannya menutup mataku dengan kedua belah tangannya dan membawaku ke laman di luar rumah. Aku hanya mengikut sahaja ke mana arah yang ditujui. Seketika kemudian,

"Awak boleh buka mata sekarang." Dengan perlahan-lahan aku membuka mata, hanya untuk melihat seorang lelaki, seseorang yang pernah aku lihat sebelum ini, seseorang yang berjaya menawan hati aku, sedang berdiri di hadapanku. Dia memakai kemeja-T berwarna hijau tua yang dipadankan dengan seluar berwarna kuning langsat. Disampingnya ialah Puan Julia dan Encik Rahman. Suraya kemudiannya menjemput mereka masuk ke dalam lalu meninggalkan kami berdua di laman.

"Selamat Hari Lahir, awak." ucapnya kepadaku secara ringkas. Aku terus memeluk lengannya yang masih berbalut dengan air mata membasahi pipi kerana terlalu gembira bercampur hiba. Walaupun dalam kesakitan namun dia hadir juga ke partiku.

"Aduh, sakitnya!" katanya mengerang kesakitan. Aku kemudiannya melepaskan tangan lalu memapah dia duduk di meja kopi di luar rumah.

"Awak, saya minta maaf sangat-sangat kerana telah melukakan hati awak dan membuatkan awak terasa kecil hati dengan saya. Saya berjanji saya tidak akan pernah membuat awak sakit hati sekali lagi," kataku tanpa menghiraukan apa butir bicara yang sebenarnya telah aku sampaikan. Shahrul hanya memerhatikan aku di sampingnya tanpa berkata apa-apa. Tak lama kemudian, Shahrul bersuara,

"Tak mengapa, Alia. Saya sudah lama memaafkan awak. Saya cuma mahu menguji sejauh mana awak boleh berlindung dengan perasaan awak sendiri. Sunita dan Mei Ling telah menceritakan segalanya." Rupa-rupanya mereka berdua telah berpakat membocorkan rahsiaku! Namun apakan daya, perkara telah terjadi. Lagipun, jika bukan kerana mereka, aku dan Shahrul mungkin tidak bertemu hari ini. Tiba-tiba, aku dipanggil oleh papa dari dalam rumah. Aku kemudiannya mengajak Shahrul untuk menjamu juadah yang ada.

"Well, I see that Alia masih rapat dengan budak itu," kata papa yang mula meresahkanku.

"I think papa boleh beri peluang, kerana papa lihat dia seorang yang baik." Aku terus memeluk papa sekali lagi kerana papa sudah mula mengubah fikiran. Alangkah gembiranya hati ini kerana telah diberi kepercayaan olehnya.

"Baiklah semua, sedia untuk sesi penggambaran!" seru Sunita untuk memaklumkan perkara itu. Kami semua berdiri di luar rumah dan menghadap ke arah kamera yang didirikan di atas tripod di penjuru laman. Aku berdiri di tengah bersama Shahrul disampingku.

"Bersedia semua!" laung Sunita setelah menekan butang di kamera. Dia kemudiannya bergegas berdiri di samping Mei Ling. Dalam sekelip mata, lampu kamera berkenaan mengeluarkan cahaya. Akhirnya gambar sambutan hari lahirku pada tahun ini telahpun ditangkap.

Tahun ini merupakan tahun yang amat bermakna buatku kerana banyak perkara yang menggembirakan aku telah berlaku. Mei Ling, Sunita, aku dan Suraya kini menjadi sahabat yang sukar dipisahkan. Abang Saiful dan kak Ros akhirnya dikurniakan seorang cahaya mata yang diberi nama Dahlia. Nazmi pula sudah mula berkenalan dengan Suraya akibat perlanggaran tempoh hari manakala aku dan Shahrul kini sudah berbaik semula, malah lebih dari itu. Akanku abadikan kenangan yang terindah ini di dalam ingatanku sampai bila-bila.

Beberapa bulan kemudian, aku mendapat satu berita gembira dari Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Makmur. Aku dan Shahrul akhirnya mendapat keputusan SPM sebanyak 9A+ manakala Mei Ling dan Sunita pula telah mendapat keputusan sebanyak 6A+ dan 3A. Aku juga telah berjaya membuktikan kepada papa bahawa aku boleh berjaya seperti abang-abangku. Suraya mengucapkan terima kasih kepadaku kerana telah membantunya belajar dengan bersungguh-sungguh. Hasilnya, dia telah berjaya mendapat 5A+, 3A dan 1A- . Aku kemudiannya mengucapkan tahniah kepada mereka termasuk Shahrul yang sudah sembuh sepenuhnya.

Benarlah, jerih payah dalam liku-liku kehidupan kadangkala membuahkan hasil apabila diusahakan dengan bersungguh-sungguh, walaupun banyak rintangan yang datang menimpa. Sejak hari itu, hubungan kami semakin rapat dari hari ke hari. Malah, dia tidak pernah jemu melayan kerenahku yang sentiasa bertanya soalan yang sama kepadanya.

"Kenapa awak lakukan ini untuk saya?"

"Kerana saya sukakan awak."

=TAMAT=

*~*~*

No comments:

Post a Comment